Rabu, 11 Julai 2012

SENAMAN


Senaman Harian Yang Ringkas

Secara tak sedar aktiviti harian kita banyak membakar kalori untuk mendapatkan tenaga. Jadi ini peluang yang terbaik kita untuk menggunakannya sebaik-baiknya.

Bagi anda yang serius nak kuruskan badan, tambahkan lagi aktiviti harian anda.

Jika kita betul-betul melakukan aktiviti harian ini, tidak mustahil kita mampu mengurangkan 1kg seminggu. Maknanya dalam masa sebulan kita dapat turunkan berat badan kita sebanyak 3-4 kg! banyak tu… :)

Jadi, apa yang nak ditambah dalam aktiviti harian ni? Jom kita lihat…..dah bersedia?

Berjalan kaki


Jangan pandang rendah pada kuasa berjalan kaki. Jika anda nak tahu amalan jalan kaki dapat mencegah banyak penyakit. Antaranya adalah sakit jantung.

Sebab itu orang zaman dulu lebih sihat berbanding orang zaman sekarang sebab orang dulu banyak berjalan berbanding dengan kita yang moden ni banyak menggunakan kenderaan daripada berjalan kaki.

Jadi, banyakkanlah berjalan kaki.

Jika kita menggunakan kenderaan, parking kenderaan jauh sedikit daripada destinasi supaya kita dapat memperbanyakkan berjalan kaki ke tempat kita nak tuju.

Window shopping baik untuk kita sebab kita perlu banyak berjalan. Kaum wanita memang suka aktiviti ini :)

Ajak kawan atau keluarga berjalan-jalan di taman. Di samping membakar kalori kita dapat menghayati keindahan alam semulajadi daripada menonton TV di rumah :)

Banyakkan berjalan di ofis. Jangan duduk depan pc sahaja. Lakukan sedikit aktiviti berjalan ke sana ke mari. Selain membakar kalori, berjalan kaki dapat mencergaskan badan. So, kita tak kan rasa mengantuk dan lebih fokus buat kerja.

Fakta: 60 minit berjalan kaki dapat membakar 111 kalori

Pilih Menggunakan Tangga




Zaman sekarang ini orang suka sangat naik lif. Sanggup beratur dan menunggu lama semata-mata nak naik lif.

Memang tak salah menggunakan lif tapi apa salahnya sekali sekala menggunakan tangga untuk naik ke tingkat atas. Tak rugi pun :)

30 minit kita menaiki tangga dapat memakar 142.8 kalori. Lagi banyak tangga kita naik lagi banyak kalori dibakar dan lagi cepat kita kurus :)

Mengemas rumah


Masa hujung minggu atau cuti rajinkan diri buat kerja rumah. Jangan asyik menonton televisyen saja :)

Mengemas rumah banyak faedahnya. Selain rumah kita jadi bersih, kita dapat membakar banyak kalori dan lemak.

Banyak kerja yang kita dapat buat semasa mengemas rumah. Sapu sampah, mop lantai, berkebun, lap tingkap, basuh cadar tilam, cuci kereta dan banyak lagi. Kita boleh pilih kerja apa yang kita nak buat. Kalau kita nak buat semua sekali gus pun boleh juga…lagi bagus :)

Purata satu kerja mengemas rumah boleh membakar 50 kalori. Cuba kira jika kita dapat buat empat kerja…..200 kalori!!..banyak tak?

Tak lama masa mengemas rumah. Lebih kurang sejam saja. Lepas tu kita buat la aktiviti kegemaran kita. Tidur ke menonton TV ke :)

Buat aktiviti riadah – Outdoor activity


Apa kegemaran riadah anda?

Main bola, berlari, main ping pong, berenang, main badminton, bersilat, karate……

Semua aktiviti riadah banyak menggunakan tenaga. Jadi, badan akan membakar kalori dengan banyak untuk dapatkan tenaga. Bila kalori dah habis dibakar, badan akan membakar lemak sebagai sumber tenaga.

Saya suka main badminton pada waktu petang. Jadi saya akan bercerita mengenai badminton.

Satu jam bermain badminton dapat membakar 298.2 kalori. Banyaknya!! :)

Lama tak satu jam ni?

Serius tak lama. Kadang-kadang saya terlajak sampai 2-3 jam main badminton. Terlampau seronok sangat sampai tak sedar masa berlalu begitu pantas.

Betullah apa orang kata. Jika kita seronok sangat semasa buat sesuatu, kita tak kan sedar masa banyak berlalu begitu saja.

Ok, itu lah senarai aktiviti harian yang kita boleh jadikan sebagai senaman ringkas harian kita.

Tau tak kenapa orang boleh jadi gemuk?

Sebabnya adalah masa mereka banyak dihabiskan untuk menonton tv, tidur, makan dan melepak di kedai mamak :)

Jika hari-hari macam ni tak mustahil lah senang jadi gemuk dan susah nak kurus.

Mak saya cakap kalau tengok tv sampai esok tak kan habis. So, kurangkan tengok tv ya :)

Bagi mereka yang suka melepak sama ada di kedai kopi atau mamak, ubah lah aktiviti anda.

Daripada melepak di kedai mamak, lebih baik lepak di padang bola sambil main bola. Lagi seronok :)

Baca seterusnya, senaman kempiskan perut
atau
Baca dari mula cara-cara kuruskan badan

sumber : http://cara-cara-kuruskan-badan.blogspot.com/

SENAMAN


Senaman Membakar Kalori


Kalori mesti dibakar jika kita mahu kuruskan badan. Tidak cukup jika kita mahu kurus dengan mengurangkan pengambilan makanan tanpa membakar kalori.

Bila kita kurangkan makan badan kita akan terasa lemah dan tak bertenaga. Malah bentuk badan kita tetap sama dan berat badan kita tidak berkurangan.

Hasilnya kita gagal kuruskan badan.

Banyak cara membakar kalori. Antara yang paling berkesan adalah senaman.

Jangan takut bila dengar perkataan senaman. Tidak semestinya perkataan senaman berkait dengan berlari satu jam sehari, kena pergi ke gym tiap-tiap hari dan macam-macam lagi.

Bertenang….tarik nafas dalam-dalam…buang fikiran negatif mengenai senaman di dalam fikiran kita :)

Sebenarnya dalam kehidupan seharian kita telah banyak melakukan senaman.

Contohnya adalah berjalan, menaiki tangga, mengemas rumah dan macam-macam lagi.

Setiap pergerakkan kita akan membakar kalori untuk dapatkan tenaga.

Jadi, kenapa susah nak kurus?

Jawapannya adalah kita mengambil terlalu banyak kalori daripada menggunakannya. Hasilnya kalori yang tidak digunakan akan disimpan sebagai lemak.

Cara yang terbaik untuk membakar kalori berlebihan ialah senaman. 


Baca seterusnya, senaman harian yang ringkas
atau
Baca dari mula cara-cara kuruskan badan

sumber : http://cara-cara-kuruskan-badan.blogspot.com/p/senaman-membakar-kalori.html

Rabu, 2 Mei 2012

Semakan Tawaran Tingkatan 6, 2012 dan Sistem Pentaksiran Baharu STPM


sila klik 


PENGENALAN
Selaras dengan Program Transformasi Pendidikan, mulai tahun 2012, Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) melaksanakan sistem pentaksiran baharu STPM bagi memperkasakan program pendidikan di tingkatan enam. Sistem pentaksiran baharu ini adalah cetusan idea oleh mantan Ketua Eksekutif MPM, Tuan Haji Omar bin Abu Bakar (2005-2011). 



































SISTEM PEPERIKSAAN STPM SEDIA ADA
Peperiksaan STPM yang sedia ada dikendalikan berdasarkan kepada tempoh pengajian tingkatan enam selama 1½ tahun. Tempoh pengajian ini terdiri daripada tingkatan enam bawah yang meliputi penggal kedua 
tempoh persekolahan, dan tingkatan enam atas yang meliputi penggal pertama dan penggal kedua tempoh persekolahan. Peperiksaan bagi pengajian tingkatan enam adalah untuk mengukur dan menilai pencapaian pelajar yang dilaksanakan keseluruhannya melalui peperiksaan STPM pada penghujung pengajian, iaitu pada bulan November hingga Disember.

PEPERIKSAAN STPM TAHUN 2012 
Pada tahun 2012, sistem peperiksaan STPM akan dijalankan dalam dua mod. Mod pertama ialah bagi pelajar yang sedang mengikuti tingkatan enam atas pada tahun 2012. Pelajar ini merupakan  kohort terakhir  sistem peperiksaan STPM sedia ada yang akan menduduki peperiksaan pada bulan November hingga Disember pada tahun 2012. Mod kedua ialah bagi pelajar tingkatan enam bawah pada tahun 2012. Pelajar ini merupakan kohort pertama sistem pentaksiran baharu STPM yang akan menduduki peperiksaan penggal 1 persekolahan tingkatan enam pada November 2012.
PUNCA KUASA
Pada 4 Januari 2012, Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) telah bersetuju meluluskan pelaksanaan sistem  pentaksiran baharu STPM bagi menggantikan sistem peperiksaan STPM sedia ada untuk sesi pengambilan tahun 2012/2013. Keputusan ini merupakan punca kuasa untuk MPM melaksanakan sistem  pentaksiran baharu STPM bermula sesi persekolahan 2012 bagi tingkatan enam bawah.

SISTEM PENTAKSIRAN BAHARU STPM
Dalam sistem  pentaksiran baharu STPM, tempoh pengajian tingkatan enam adalah sama dengan tempoh persekolahan mengikut kalendar persekolahan yang dilaksanakan pada masa ini.Peruntukan waktu pengajaran juga adalah sama seperti jadual waktu persekolahan yang sedia ada bagi tingkatan enam, iaitu lapan (8) waktu seminggu bagi setiap mata pelajaran (1 waktu pengajaran = 40 minit). Oleh itu, sistem  pentaksiran baharu STPM  ini tidak mengganggu dan tidak mengubah sistem persekolahan sedia ada.
Dari segi penawaran bilangan mata pelajaran di SMK Raja Muda Musa ialah
900   Pengajian Am            
946   Pengajian Perniagaan
910   Bahasa Melayu  atau  944  Ekonomi          
940   Sejarah atau  942 Geografi
Bahasa Tamil : kelas dibuka tetapi bukan di bawah pakej yang ditawarkan oleh pihak sekolah.

Kandungan pengajiannya dibahagikan kepada tiga bahagian kurikulum berdasarkan kelompok tajuk atau mengikut kesesuaian bidang kajian disiplin berkenaan untuk mengisi tiga penggal, iaitu Penggal 1, Penggal 2, dan Penggal 3 dalam tempoh pengajian selama 1½ tahun. Pentaksiran pencapaian pelajar akan dijalankan pada setiap penggal dan keputusan peperiksaan juga akan dikeluarkan pada setiap penggal, manakala keputusan keseluruhan peperiksaan STPM adalah berdasarkan gabungan keputusan terbaik bagi ketiga-tiga penggal.
Aspek kemahiran insaniah (soft skills) diterapkan dalam kurikulum sistem ini, yang antaranya meliputi kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, kepemimpinan, pemikiran kritis, penyelesaian masalah, pengurusan maklumat, etika, dan lain-lain.
Dalam aspek pentaksiran pula, dua kaedah pentaksiran akan dijalankan, iaitu PBS dengan wajaran 20% hingga 40%, dan peperiksaan akhir berpusat dengan wajaran 60% hingga 80%. (Peratusan wajaran berbeza mengikut mata pelajaran).

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS) 
PBS merupakan kerja kursus yang terdiri daripada kerja projek, kajian luar, dan kerja amali yang  diperkenalkan kepada 19 mata pelajaran. Soalan/tugasan kerja kursus akan disediakan oleh MPM. Kerja kursus akan dilaksanakan sama ada pada setiap penggal atau pada penggal tertentu sahaja mengikut keperluan mata pelajaran. Pemeriksaan PBS akan dibuat oleh guru mata pelajaran sendiri bagi sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, manakala pemantauan dan penyelarasan PBS akan dikendalikan oleh MPM sama ada di peringkat zon atau peringkat pusat. Bagi sekolah swasta, sekolah integriti, dan calon persendirian individu, pemeriksa PBSnya akan dilantik oleh MPM.  MPM juga menyediakan Manual Guru dan Manual Pelajar bagi setiap mata pelajaran untuk memberi panduan dan rujukan kepada semua yang terlibat dalam pengendalian PBS demi jaminan kualitinya.

PEPERIKSAAN
Peperiksaan akhir berpusat akan ditadbirkan pada hujung setiap penggal.  Kertas peperiksaan akan disediakan dan dibekalkan oleh MPM dan pemeriksaan skrip jawapan akan dijalankan oleh pemeriksa
yang dilantik oleh MPM seperti amalan sekarang.

PENGGREDAN
Sistem penggredan dalam sistem pentaksiran baharu STPM adalah sama dengan sistem  STPM  sedia ada. Skor (peringkat kertas peperiksaan atau komponen mata pelajaran) yang diperoleh oleh pelajar dalam setiap penggal akan dijumlahkan untuk menentukan gred keseluruhan mata pelajaran. Tiada prasyarat kelulusan gred minimum dalam sesuatu penggal untuk melayakkan pelajar mengikuti pengajian pada penggal yang berikutnya.

MEMPERBAIKI KEPUTUSAN
Satu  keistimewaan dalam sistem ini ialah pelajar dibenarkan untuk memperbaiki keputusan peperiksaan akhir Penggal 1 dan/atau Penggal 2 dengan menduduki semula peperiksaan akhir bagi penggal berkenaan pada hujung Penggal 3 (hujung tahun). Pelajar yang tidak mencapai keputusan yang baik bagi Penggal 3 boleh juga menduduki semula peperiksaan akhir Penggal 3, iaitu selepas keputusan Penggal 3 dikeluarkan. Keputusan keseluruhan peperiksaan STPM ini adalah berdasarkan gabungan keputusan terbaik bagi ketiga-tiga penggal.  

KELEBIHAN 
Melalui sistem ini, beban bagi pelajar untuk mempelajari kandungan kurikulum adalah kurang dan mereka mempunyai peluang yang lebih besar untuk memperoleh pencapaian yang lebih baik bagi setiap penggal kerana skop pengajian yang dinilai pada setiap penggal adalah pada skala kecil.
Pengenalan kepada PBS dalam sistem ini adalah selari dengan hasrat KPM untuk membangunkan modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek serta memperluaskan peluang pendidikan kepada semua yang berpotensi. Hal ini juga berketepatan dengan hasrat KPM untuk memantapkan sistem pentaksiran dan penilaian agar lebih holistik dengan menitikberatkan pendidikan berasaskan hasil (outcome-based education) yang lebih berfokuskan pelajar dan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan.

STANDARD DAN PENGIKTIRAFAN
Dari segi standard dan pengiktirafan, pentaksiran baharu STPM adalah sama dengan STPM sedia ada. Pada umumnya, kandungan kurikulum tidak berubah. Wakil Cambridge Assessment (CA), United Kingdom akan turut serta dalam Jawatankuasa Penetapan Darjah STPM ini bagi penentuan keputusan STPM. Wakil CA ini akan memberikan pandangannya mengenai analisis keputusan peperiksaan STPM bagi setiap kertas, dan membuat keputusan bersama sebagai satu persetujuan dan pengiktirafan. Selain daripada itu, Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia juga telah maklum tentang pelaksanaan Sistem Pentaksiran Baharu STPM ini.  

WAWASAN
Pelaksanaan sistem ini diharapkan dapat mengangkat martabat dan memperkasakan pengajian peringkat prauniversiti di tingkatan enam supaya ia lebih berkualiti dan  dapat menarik lebih banyak pelajar  untuk mengikutinya, di samping  dapat mentransformasikan pentaksiran dan penilaian peperiksaan STPM yang lebih holistik. Dengan pelaksanaan sistem ini akan membolehkan pelajar menyesuaikan diri kepada sistem pengajian tinggi di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terutama dari segi membina kemahiran mengurus diri secara berdikari. Penilaian aktiviti di peringkat sekolah turut membolehkan pelajar menjalankan kajian secara persendirian dan berkumpulan manakala pentaksiran berpusat akan menjurus kepada penyediaan pelajar ke arah sistem pendidikan yang terdapat di IPT.
Sistem pentaksiran yang mesra pelajar ini dihasratkan dapat memberi peluang kepada pelajar untuk memperbaiki dan meningkatkan keputusan akademik mereka bagi melayakkan diri ke IPT dan membuka luas peluang pendidikan kepada semua warga Malaysia yang berpotensi.
Maklumat lanjut mengenai Sistem Pentaksiran Baharu STPM ini boleh dilayari melalui portal MPM: http://www.mpm.edu.my 

KADAR YURAN

(a) Yuran asas                                                                         RM120.00
(b) Yuran setiap mata pelajaran                                               RM90.00
(c) Caj menduduki semula peperiksaan akhir per kertas           RM50.00                

Calon sekolah kerajaan dan calon sekolah bantuan kerajaan dikecualikan daripada membayar yuran ini.  Walau bagaimanapun, calon yang ingin menduduki semula peperiksaan akhir sesuatu penggal akan dikenakan caj sebanyak RM50.00 per kertas 

Sumber : Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM)







Ahad, 22 April 2012

Senarai Rujukan STPM Baharu




 


1. Abdul Razak Ab Karim, 2008. Kepelbagaian Laras Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
2. Ahmad Khair Mohd Nor, 2008. Pengantar Sintaksis Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
 3. Amat Johari Moin, 1996. Perancangan Bahasa: Aksara Jawi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
 4. Asmah Haji Omar, 2008. Nahu Kemas Kini. Kuala Lumpur: PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.
5. Asmah Hj Omar, 2007. Panduan Wacana Akademik: Teori dan Penerapan. Dewan Bahasa dan Pustaka.
6. Nik Safiah Karim, 2008. Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
7. Noriah Mohamed, 1999. Sejarah Sosiolinguistik Bahasa Melayu Lama. Penerbit USM, Pulau Pinang.
8. Persatuan Pendidikan Bahasa Melayu Malaysia, 2012. Dinamika Bahasa Melayu. Kuala Lumpur.
9. Persatuan Pendidikan Bahasa Melayu Malaysia, 2012. Tatabahasa Asas. Kuala Lumpur. 10. Za’ba, 1965. Ilmu Mengarang Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sabtu, 21 April 2012

Pilihan Tajuk Ilmiah


Tajuk: Persamaan dan Perbezaan antara Sistem Ejaan Za’ba dengan Sistem Ejaan Baharu Bahasa Melayu

Tajuk : Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Bahasa Rasmi dan Bahasa Pengantar di Negara Ini – Dokumen yang Berkaitan dengannya

Tajuk :  Perbezaan antara Penggolongan Kata oleh Za’ba dengan Penggolongan Kata dalam Tatabahasa Dewan

Tajuk : Sumbangan Beberapa Tokoh Bahasa Melayu Moden dalam Bidang Linguistik Melayu

Tajuk :  Imbuhan Kata Nama dalam Bahasa Melayu -  Fungsi dan Maknanya

Tajuk :  Ragam dan Bentuk Ayat dalam Akhbar Tempatan

Tajuk :  Kesalahan Bahasa dalam Siaran Berita Televisyen

Tajuk :  Perbezaan antara Bahasa/Dialek Daerah    X dengan Bahasa Melayu Baku

Tajuk :  Analisis Wacana Ruangan Pendapat Pembaca dalam Akhbar Tempatan

Tajuk :  Proses Penerbitan Ayat dalam Bahasa Melayu

Kajian Ilmiah




BIDANG KAJIAN ESEI ILMIAH
BIL.
SKOP KAJIAN
CONTOH TAJUK KAJIAN YANG BOLEH DITERIMA
1.
Bahasa Melayu Kuno
·         Kosa Kata Pinjaman Bahasa Sanskrit dalam Laras Pemerintahan dan Pentadbiran
2.
Bahasa Melayu Klasik
·         Sejarah Perkembangan Aksara Jawi pada Zaman Bahasa Melayu Klasik
·         Bahasa Melayu sebagai Lingua Franca dari Abad ke-15 hingga Abad ke-19
3.
Bahasa Melayu Moden 
·         Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Mengembangkan dan Memartabatkan Bahasa Melayu
·         Sumbangan  Frank Swetthenham dalam  Bahasa Melayu
    

4.
Unsur Asing dalam Bahasa Melayu
·         Penggunaan Kosa Kata Bahasa Inggeris dalam Beberapa Karya  Puisi Karya Usman Awang
·         Peminjaman Unsur Bahasa Asing dalam Bahasa Melayu
5.
Fonetik dan Fonologi
·         Dialek Melayu Kelantan:  Penggunaan vokal  e Taling
·         Fonologi dalam Dialek Melayu di Kuala Kangsar, Perak
6.
Sistem Ejaan Bahasa Melayu
·         Beberapa Kesalahan  Bahasa  di Atas Papan Notis Iklan
7.
Morfologi
·         Penggunaan Imbuhan dalam Dialek Terengganu
·         Jenis dan Penggunaan Kata Ganti Nama Diri dalam Keluarga Masyarakat Melayu
·         Fungsi Makna Imbuhan PeN- dalam Bahasa Melayu
·         Kosa Kata Asing dalam Dialek di Daerah X
·         Kesalahan Morfologi dalam Media Cetak
8.
Sintaksis
·         Kesalahan Penggunaan Ayat dalam Komunikasi Lisan di Media Massa
·         Kepelbagaian Jenis  Ayat  Perintah bagi Kaedah Penyoalan Lisan dalam Sesi  Pengajaran dan Pembelajaran Guru Bahasa Melayu di Sek. Men. Keb. X
9.
Wacana
·         Koheran dan Kohesi dalam Teks Khutbah Jumaat di Masjid Jamek Kuala Lumpur
10.
Retorik
·         Pendedahan dan Penghujahan dalam Pidato
·         Retorik  Pemerian dalam Novel ‘Ombak Rindu’ Karya Fauziah Ashari
11.
Variasi Bahasa
·         Variasi Bahasa Baku dalam Filem-Filem Seniman Agung P. Ramlee
·         Percampuran Kod dalam Kalangan Peniaga-Peniaga di Pasar Borong Selayang, Selangor
·         Penggunaan Bahasa Slanga dalam Kalangan Remaja di Taman Y
12.
Laras Bahasa
·         Penggunaan Kata Adjektif dalam Laras Bahasa Iklan Perniagaan
·         Beberapa Istilah Teknikal bagi Laras Undang-Undang Syariah di Malaysia
13.
Semantik
·         Perubahan Makna Kata kerana Peluasan Makna bagi Perkataan  yang berkaitan dengan Perkataan ‘Air’
·         Perkaitan Makna Dari Segi Leksikal dalam Bahasa Melayu
14.
Pragmatik
·         Kepentingan Penggunaan Ragam Bahasa Sindiran dalam Masyarakat Melayu Lama
·         Kata Sapaan dalam Keluarga Diraja Melayu
·         Ungkapan Bertatasusila  dalam Kalangan Pemandu Teksi di Kuching, Sarawak.


Khamis, 19 April 2012

Penceraian Trend Terkini?

Oleh Aninah Janang dan Abd. Kadir Mohd. Ayub


Inai di jari masih merah tetapi sudah bergelar janda! Keadaan ini umpama barah yang semakin kritikal, seolah-olah menjadi trend terkini dalam kalangan masyarakat di negara ini. Senario itu lebih ketara dalam kalangan pasangan beragama Islam.

Yang mengejutkan, purata pasangan Islam yang bercerai di negara ini mencatatkan rekod satu pasangan bercerai untuk setiap 15 minit.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, ketika merasmikan seminar sempena sambutan Maulidur Rasul pada Mac 2011 di Putrajaya, angka tersebut diperoleh berdasarkan rekod Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2009.

Kebanyakan pasangan yang mengemukakan permohonan cerai di 13 buah pejabat Jabatan Agama Islam memberikan alasan kurang persefahaman sebagai punca mereka bercerai.

Menurut satu lagi kajian yang dijalankan oleh Bahagian Penyelidikan JAKIM pada 2011, mendapati bahawa antara punca suami memohon penceraian ialah sikap tidak bertanggungjawab isteri (32.93 peratus), masalah akhlak dan sosial (12.03 peratus), masalah pihak ketiga (5.45 peratus) dan masalah ekonomi (2.26 peratus). Di pihak isteri pula, selain tiada persefahaman, isteri memberikan alasan suami tidak bertanggungjawab (17.68 peratus), masalah akhlak dan sosial (5.84 peratus), wujud pihak ketiga (4.42 peratus), dan masalah seksual (1.38 peratus).

Meskipun kajian JAKIM menunjukkan bahawa sikap tidak bertanggungjawab kedua-dua pihak (suami dan isteri) sebagai antara faktor utama yang membawa kepada keretakan rumah tangga, namun bagi pensyarah di Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kelantan, Masnah Mohd. Zain, masalah kewangan merupakan satu lagi faktor utama yang menyebabkan berlakunya penceraian dalam perkahwinan.

“Pendapatan yang tidak mencukupi menjadi antara faktor utama penceraian,” tegas Masnah kepada penulis ketika dihubungi baru-baru ini.

Pada 2002, beliau yang mengetuai penyelidikan “Kesan Pendapatan ke Atas Kadar Penceraian Dalam Kalangan Masyarakat Melayu di Kelantan” mendapati bahawa pendapatan menjadi faktor penting dalam menentukan kekukuhan institusi perkahwinan.

Penyelidikan tersebut menurut Masnah memberikan fokus kepada pasangan Melayu yang bercerai di seluruh jajahan di Kelantan bagi tempoh enam tahun, iaitu dari 1993 hingga 1998, dengan mengambil kira sama ada faktor pendapatan menjadi punca berlakunya penceraian.

Penyelidikan tersebut sengaja memilih Kelantan kerana dua faktor; pertama, Kelantan antara negeri paling tinggi kadar penceraian di negara ini; kedua, Kelantan ialah negeri paling banyak didiami orang Melayu.

Menurut Bancian Penduduk 2000, jumlah penduduk Kelantan sebanyak 1313014 orang. Daripada jumlah tersebut, 95 peratus ialah penduduk berketurunan Melayu.

Masnah turut menjelaskan bahawa proses pembangunan yang berlaku di negara ini banyak mengubah taraf hidup masyarakat. Lantaran itu, keperluan material dalam sesebuah keluarga yang semakin bertambah turut mempengaruhi corak hidup pasangan yang berkahwin.

Bagi pasangan suami isteri yang mempunyai anak, ibu bapa perlu menyediakan pendidikan, makanan, pakaian, dan tempat tinggal yang baik kepada keluarga mereka.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat April 2012.

Obsesi Kecantikan Kehendak atau Keperluan?

Oleh Abd. Kadir Mohd. Ayub

Berikan sejuta perkataan untuk menghuraikan kecantikan seorang wanita. Berilah walau sebanyak mana perumpamaan. Biar apa-apa pun yang diluahkan, masih belum cukup untuk mendefinisikan betapa indahnya insan yang bernama wanita-insan mulia yang dikurniakan pelbagai keistimewaan oleh Yang Maha Esa.

Wanita harus bersyukur kerana dilahirkan dengan segala keindahan yang mengangkat martabat wanita. Bagai irama dengan lagu, wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan.

Menyedari hakikat ini, tidak hairanlah kebanyakan wanita moden berlumba-lumba mendapatkan pelbagai rawatan kecantikan. Menjaga kecantikan tidak salah, tetapi apabila melibatkan ketaksuban yang keterlaluan, padah yang menanti tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Lebih-lebih lagi apabila pusat rawatan kecantikan yang dikunjungi tidak diiktiraf.

Dalam banyak perkara yang dikaitkan dengan kecantikan, majoriti kaum wanita didapati menitikberatkan penampilan wajah dengan berusaha mencari pelbagai kosmetik bagi menyerlahkan lagi kecantikan yang dimiliki. Mereka juga begitu takut dengan penampilan bentuk tubuh badan mereka. Jika tersilap langkah mereka boleh terjebak dengan pelbagai lambakan kosmetik di pasaran yang ada antaranya mempunyai bahan racun berjadual. Mereka terlupa bahawa dalam menjaga kecantikan luaran, aspek kecantikan dalaman juga harus dititikberatkan.


Berbelanja Besar Untuk Cantik?

Isu obsesi terhadap kecantikan di Malaysia menjadi semakin hangat apabila pada Disember 2011 sebuah akhbar arus perdana melaporkan wanita di negara ini sanggup berbelanja sekurang-kurangnya RM2000 setiap bulan semata-mata untuk kelihatan cantik dengan membeli produk kosmetik pelbagai jenama.

Menurut unjuran Laporan Kewangan Jabatan Audit Amerika Syarikat 2011, jumlah keseluruhan perbelanjaan rakyat di negara ini yang membabitkan kosmetik dan kecantikan pada 2011 dianggarkan bernilai AS$1 Bilion (RM3.42). Angka ini menunjukkan bahawa kebanyakan wanita di negara ini begitu terpengaruh dengan kosmetik atau apa-apa sahaja yang mampu mengekalkan kecantikan yang dimiliki.

Baru-baru ini Dewan Masyarakat berkesempatan menemu bual wanita yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur secara rambang. Kebanyakan wanita berumur 18 hingga 30 tahun yang ditemui sekurang-kurangnya pasti memakai produk kosmetik asas, seperti bedak kompak, gincu, pembayang mata atau pemerah pipi. Perbelanjaan ini tidak termasuk perbelanjaan lain, seperti pakaian, produk penjagaan kulit, rambut serta penjagaan kesihatan.

Seorang ahli perniagaan, Nazira Azri, 30 tahun, menjelaskan bahawa beliau membeli kosmetik berdasarkan jenama dan kualiti. “Saya tidak lokek mengeluarkan belanja lebih untuk tampil cantik asalkan berkualiti dan berbaloi dengan wang yang dilaburkan,” ujarnya kepada Dewan Masyarakat.

“Wanita perlu menitikberatkan penampilan lebih-lebih lagi jika pekerjaan menuntut diri mereka berhadapan dengan orang ramai. Bagi saya, penggunaan kosmetik kini bukan lagi kehendak, tetapi menjadi keperluan seorang wanita,” katanya ketika ditemui di Ampang. Nazira mengakui, setiap bulan dia memperuntukkan hampir RM3000 untuk tujuan kecantikan.

Sementara itu, seorang pelajar kolej swasta, Rita Rahim, 20 tahun, mengakui bahawa kebanyakan wanita di negara ini begitu gila akan kosmetik tidak kira sama ada yang sudah bekerja atau masih lagi bergelar pelajar. Rita menjelaskan pemilihan produk kosmetik adalah berdasarkan trend semasa termasuk warna dan jenama popular di pasaran.

“Gaya solekan terkini menjadi ikutan wanita terutama apabila melihat paparan iklan yang sedikit sebanyak mempengaruhi kuasa membeli wanita. Oleh itu, terdapat segelintir wanita tidak kisah menghabiskan wang ringgit untuk kelihatan cantik,” jelasnya.

“Tidak dinafikan walaupun masih belajar, terdapat kawan-kawan saya yang sanggup memperuntukkan sekurang-kurangnya RM300 untuk membeli kosmetik,” jelas Maiza Rahim, 19.

Walaupun pandangannya berbeza kerana begitu percaya dengan kecantikan semula jadi, Maiza juga tidak dapat mengelak daripada menggunakan bahan kosmetik asas.

“Saya tidak memakai kosmetik secara berlebihan kerana setiap individu mempunyai keistimewaan tersendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang eksekutif pemasaran, Juita Rahman, 25 tahun, mendakwa pemakaian kosmetik mampu meningkatkan keyakinan diri seseorang sekali gus menaikkan seri wajah. “Pemakaian kosmetik yang sesuai mampu memberikan nilai tambah kepada diri.

“Pemakaian kosmetik yang berlebihan tidak menampakkan keaslian wajah seseorang. Selain itu, pemilihan produk juga perlu dititikberatkan kerana khuatir dengan kandungan kimia yang boleh merosakkan kulit,” jelas seorang pakar kulit, Dr. Anita, yang ditemui penulis.

Namun, beliau tidak menafikan bahawa wanita masih tidak boleh lari daripada menggunakan bahan kosmetik asas untuk menambahkan seri dan penampilan. “Tidak salah menggunakannya asalkan mereka mengambil berat terhadap kandungan bahannya,” tegas Anita.


Persaingan Syarikat Kosmetik

Kepelbagaian produk kosmetik yang terdapat di pasaran dan perkembangan industri kecantikan di seluruh dunia mendorong peningkatan perbelanjaan rakyat Malaysia terhadap barangan tersebut.

Apabila berbicara mengenai kosmetik dan produk penjagaan diri, yang terbayang di fikiran adalah produk yang membantu memperbaik penampilan. Seorang wanita lazimnya menyenaraikan gincu, pembayang mata, dan maskara dalam senarai membeli produk kosmetik.

Banyak orang beranggapan bahawa industri kosmetik hanya melibatkan gincu,pembayang mata dan maskara, tetapi sebenarnya turut meliputi produk penjagaan diri dan kebersihan. Industri kosmetik bukan industri yang menghasilkan produk berasaskan gender, peringkat umur, tempat atau strata sosial.

Pada tahun lepas, menurut Laporan Kewangan Ekonomi Global 2011, nilai jualan produk kosmetik dan penjagaan diri global diunjurkan sebanyak Euro126 bilion (kira-kira RM605 bilion) dengan 55 peratus daripadanya datang dari Eropah. Eropah juga merupakan pengeluar terbesar produk kosmetik dan penjagaan diri, diikuti Amerika Syarikat dan Jepun.

Sejak kebelakangan ini, terdapat permintaan yang tinggi terhadap produk kosmetik dan penjagaan diri yang inovatif kerana pengguna kini memiliki kesedaran yang tinggi mengenai kecantikan. Pengguna juga semakin bijak apabila permintaan terhadap produk berasaskan organik atau yang mempunyai nilai tambah, seperti produk halal atau produk mesra alam didapati mengalami peningkatan mendadak.

Lambakan produk kecantikan dan penjagaan diri dari luar negara di pasaran tempatan, termasuk dari negara jiran, seperti Indonesia, Filipina, dan Thailand juga seolah-olah memberikan isyarat sudah tiba masanya anak tempatan turut diberi peluang.

Penganjur pameran kecantikan terbesar Asia Tenggara, Beauty 11 Expo, Mak Weng Kit berkata, rakyat Malaysia berbelanja AS1.1 bilion (RM3.42 bilion) pada 2011 bagi membeli produk kosmetik dan kecantikan.

“Pada 2011, sambutan terhadap produk kecantikan amat memberangsangkan apabila kehadiran pengunjung dicatatkan lebih daripada 20 ribu orang sepanjang ekspo berlangsung,” jelasnya. Selain itu, bilangan syarikat yang mengambil bahagian juga meningkat kepada 50 peratus berbanding dengan 2010. Maklum balas yang diterima daripada peserta pameran juga menunjukkan pertumbuhan pasaran dan industri kecantikan di Malaysia semakin meningkat.

“Setiap tahun bilangan pengunjung dan peserta didapati meningkat. Rakyat Malaysia mempunyai kesedaran terhadap kecantikan dan pengguna kini sanggup berbelanja lebih ke atas produk kecantikan demi kelihatan cantik,” ujarnya.

Pengasas produk kecantikan D’Navechee, Datuk Azalina Che Abdullah, menjelaskan bahawa persekitaran masyarakat yang mementingkan kecantikan mendorong wanita untuk kelihatan bergaya dan menarik di khalayak. “Kecantikan itu sendiri merupakan binaan sosial seseorang. Pelbagai persepsi dapat dilihat apabila istilah cantik itu dinilai. Cantik luaran dan cantik dalaman adalah berbeza, namun kita tidak dapat menafikan manusia hanya dapat menilai aspek luaran daripada menilai kecantikan dalaman,” ujarnya kepada penulis ketika ditemui baru-baru ini.

“Semua ini merupakan lumrah kerana wanita sememangnya suka akan kecantikan dan keindahan. Maka, syarikat pengeluaran kosmetik juga tidak ketinggalan menawarkan produk untuk membantu mengekalkan dan memelihara kecantikan wanita,” jelasnya.

Presiden SimplySiti Sdn. Bhd., Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, percaya bahawa trend wanita berbelanja besar terhadap produk kecantikan bukanlah sesuatu yang mengejutkan. “Majoriti wanita yang bekerja memperuntukkan hampir setengah daripada pendapatan mereka hanya untuk memastikan diri kelihatan cantik dan menawan,” beritahu Siti semasa sidang media mengenai produk SimplySiti pada September tahun lalu. Siti turut menasihati golongan wanita agar berpada-pada ketika mengeluarkan belanja untuk kekal cantik.


Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Mac 2012