Rabu, 15 Februari 2012

PBS BAGI SISTEM MODULAR STPM

Kerja Kursus


1 Pengenalan
Dalam Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia Bahasa Melayu yang baharu, komponen pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) diterapkan kepada calon sekolah kerajaan, calon sekolah swasta, dan calon persendirian individu. Melalui PBS, calon dikehendaki menyediakan dua kerja kursus, iaitu kerja kursus pada penggal kedua dan kerja kursus pada penggal ketiga. Wajaran markah bagi komponen kerja kursus sepanjang pengajian tingkatan enam ialah 25%. Markah bagi komponen kerja kursus ini dijumlahkan dengan markah peperiksaan yang dikendalikan oleh MPM dalam setiap penggal bagi menentukan gred mata pelajaran dan Purata Nilai Gred
Keseluruhan. Pada penggal kedua, calon dikehendaki mengarang esei berformat manakala pada penggal ketiga, calon dikehendaki menghasilkan penulisan ilmiah. Panduan dan arahan tugasan akan diberikan melalui portal MPM http://www.mpm.edu.my. Tugasan adalah berkaitan dengan tajuk yang terdapat dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu.

2 Objektif

Tujuan kerja kursus ini diadakan adalah untuk menilai dan memperkukuh kebolehan dan keupayaan calon dalam
(a) memahami dan mengaplikasi pengetahuan dan sistem bahasa Melayu
(b) menerapkan dan mengaplikasi domain kemahiran insaniah dalam mata pelajaran ini
(c) menerapkan kesedaran calon bahawa pembelajaran mata pelajaran ini adalah berasaskan pembelajaran sepanjang penggal
(d) mengaplikasi pembelajaran dengan kaedah, teknik, dan strategi yang ilmiah seperti dengan memperoleh ilmu melalui sumber kajian, pengumpulan maklumat daripada pelbagai sumber, dan menyampaikan dapatan dan maklumat dalam bentuk komunikasi yang teratur, jelas, dan sahih.

3 Kerja kursus Penggal Kedua – Penulisan Esei Berformat

1 Pelajar dikehendaki menyediakan esei berformat secara individu.
2 Guru hendaklah menyediakan tajuk soalan esei berformat kepada pelajar.
3 Pelajar dikehendaki menulis sekurang-kurangnya tujuh esei, iaitu satu esei bagi setiap format. Ketujuh-tujuh esei tersebut hendaklah disemak dan markah purata akan dihantar kepada MPM.
4 Pelajar dikehendaki menulis esei berformat dalam waktu pengajaran dan pembelajaran (P & P) Bahasa Melayu.

4 Kerja kursus Penggal Ketiga – Penulisan Esei Ilmiah

1 Esei ilmiah dihasilkan secara berkumpulan dan dibentangkan oleh setiap ahli kumpulan mengikut bahagian masing-masing. Guru mentaksir pembentangan esei tersebut secara individu.
2 Setiap ahli dalam kumpulan dikehendaki membuat pembentangan selama lima minit. Lima minit lagi diperuntukkan untuk sesi soal jawab bagi setiap kumpulan.
3 Bagi calon persendirian individu, esei ilmiah dihasilkan dan dibentangkan secara individu.
4 Dalam sesi soal jawab, satu soalan daripada guru dan dua soalan daripada pelajar hendaklah dibuka kepada semua ahli kumpulan untuk dijawab.
5 Calon digalakkan untuk menggunakan alat bantu yang sesuai, seperti power point, LCD, OHP, atau lain-lain untuk memaparkan isi penting pembentangan.
6 Calon tidak dibenarkan membaca keseluruhan teks daripada hasil kajian.
7 Semangat kerja berpasukan hendaklah jelas kelihatan semasa membuat pembentangan.
8 Markah penuh pembentangan sebanyak 50 markah diberikan untuk aspek kerelevanan, kelancaran, keterampilan, kebahasaan, dan penggunaan alat bantu. Wajarannya ialah 40%. Pemberian markah kepada setiap individu adalah berdasarkan prestasi pembentangannya.
9 Markah penuh penulisan esei sebanyak 50 markah diberikan untuk tajuk kajian, senarai kandungan, penghargaan, pendahuluan, objektif kajian, kaedah kajian, dapatan kajian, rumusan kajian, lampiran, dan bibliografi/rujukan. Wajarannya ialah 60%. Setiap ahli kumpulan diberikan markah yang sama bagi penulisan esei yang dihasilkan.

STPM BAHASA MELAYU BAHARU


SUKATAN PELAJARAN 910 BAHASA MELAYU

Matlamat Matlamat sukatan pelajaran ini adalah untuk
(a) melahirkan pelajar yang dapat berbahasa Melayu dengan cekap dan berupaya untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi;
(b) menghasilkan lulusan bahasa Melayu yang berdaya saing dan dapat memenuhi keperluan pasaran kerja; (c) mengukuhkan rasa sayang akan bahasa Melayu dan berbangga menggunakannya.

Objektif Objektif sukatan pelajaran ini adalah untuk membolehkan pelajar
(a) memahami sejarah, kekeluargaan, dan perkembangan bahasa Melayu;
(b) menguasai dan menggunakan sistem bahasa Melayu dengan betul;
(c) memahami, menginterpretasi, dan mengulas kandungan bahan bacaan tentang pelbagai bidang;
(d) memahami wacana, retorik, variasi, dan laras bahasa dengan betul, dan dapat menggunakannya dengan berkesan;
(e) memahami, memilih, dan menggunakan kosa kata mengikut konteks, dan dengan gaya yang sesuai;
(f) mengungkapkan fikiran dengan menggunakan bahasa yang betul, baik, dan berkesan, sama ada secara lisan atau tulisan;
(g) mengembangkan sesuatu idea secara tersusun, padat, dan meyakinkan, sama ada secara lisan atau tulisan;
(h) mengenal pasti kesalahan bahasa, menjelaskan sebab kesalahan, dan membetulkannya;
(i) menguasai kemahiran insaniah (seperti kerja secara berkumpulan, kepemimpinan, keupayaan menyelesaikan masalah, keterampilan berkomunikasi, dan lain-lain) dalam konteks penggunaan

TOKOH BAHASA MELAYU MODEN

Raja Ali Haji

Tokoh ini terkenal sebagai ulama serta sastrawan Melayu terkemuka pada abad 19. Raja Ali Haji adalah keturunan bangsawan Bugis yang mendiami Pulau Penyengat, tidak jauh dari Tanjung Pinang (Pulau Bintan). Ayah beliau bernama Raja Ahmad. Sementara datuk beliau bernama Raja Haji, seorang pahlawan Bugis terkenal.

Ayah Raja Ali Haji sangat menyukai bidang sejarah. Salah satu karya beliau ialah "Syair Perang Johor" menguraikan tentang perang antara Kesultanan Johor dan Kesultanan Aceh abad 17. Selain itu, Raja Ahmad juga orang pertama yang menyusun salasilah tentang sejarah orang Bugis di daerah Melayu dan hubungannya dengan raja-raja Melayu.

Bakat menulis ini diwarisi oleh anak beliau iaitu Raja Ali Haji. Sejak masih remaja, Raja Ali sering mengikuti ayahnya menjelajah ke beberapa wilayah, termasuk ke Batavia, berdagang serta ke Tanah Suci Mekah. Pengalaman beliau membuka banyak pengalaman hidup beliau.

Menginjak usia 20 tahun, beliau sudah diberikan tugas-tugas penting kerajaan. Pada usia 32 tahun, Raja Ali bersama sepupunya, Raja Ali bin Raja Ja‘far, telah mentadbir daerah Lingga, bagi mewakili Sultan Mahmud Muzaffar Syah yang masih muda.

Raja Ali Haji juga dikenali sebagai ulama dan sering menjadi tempat rujukan fatwa oleh kerabat kerajaan. Pengetahuannya dalam bidang agama sangat menonjol dan dimanfaatkan oleh para guru agama di Riau pada ketika itu.

Sumbangan beliau di bidang intelektual tidak terhingga banyaknya meliputi bidang agama, sastera, politik, sejarah, filsafat serta hukum.

Dalam bidang sastera,karya beliau yang berjudul Hikayat Abdul Muluk merupakan karya sastrawan Riau yang pertama diterbitkan pada tahun 1846. Dari sejak itu, semakin banyak karya Raja Ali Haji diterbitkan. Dalam beberapa buah karyanya, beliau selalu menekankan bahawa satu-satunya jalan untuk mengatasi hawa nafsu dan mencegah terjadinya konflik adalah dengan taat kepada hukum Allah SWT yang telah digariskan kitab suci Al Quran.

Selain itu tiap-tiap individu harus menjaga nama baik, ilmu dan akalnya. Pada setiap pesan etik yang disampaikan, Raja Ali kerap menyisipkan lukisan peristiwa nyata yang terjadi sepanjang pengalaman hidup beliau.

Raja Ali pun tak lupa menyoroti akhlak kepemimpinan. Menurutnya, seorang raja yang melalaikan tugasnya dan mendurhakai Tuhan tidak dapat diterima sebagai penguasa lagi.

Terlalu banyak hasil karya Raja Ali Haji,yang bercirikan kesusastraan Islam serta Melayu, juga kesungguhannya dalam menyajikan sejarah masa lalu. Di samping itu, karyanya berjudul Gurindam Dua Belas (1847) menjadi karya tak ternilai bahkan paling menonjol di antara karya yang lain. Dalam usaha untuk melestarikan karya-karyanya, pada awal tahun 1890, semua sanak saudaranya menubuhkan sebuah perkumpulan bernama Rusdyiah Club yang bergerak di bidang pembinaan umat serta penerbitan buku bersifat Islami. Raja Ali Haji dimakamkan di Pulau Penyengat. Di pulau ini terdapat banyak peninggalan Kerajaan Melayu. Ketika pusat kerajan Riau dipindahkan ke Pulau Penyengat tahun 1900, dibangunlah sebuah istana yang dikenali sebagai Kedaton. Di kompleks pemakaman Engku Putri Raja Hamida terdapat makam Radja Ali Haji. Makam Raja Ali Haji terletak di luar bangunan utama Makam Engku Putri. Karyanya Gurindam Dua Belas diabadikan di sepanjang dinding bangunan makam. Setiap pengunjung dapat membaca atau mencatat karya besarnya yang luar biasa indah tersebut.

Gurindam Dua Belas merupakan karya besar Raja Ali Haji (1809 - 1872). Beliau dikenal sebagai seorang budayawan, dan penulis dengan karya kaya beraliran Riau. Lahir sekitar tahun 1809 di Pulau Penyengat sebuah pusat keilmuan Melayu Islam yang penting di abad ke 19. Beliau wafat pada usia 63 tahun dan dimakamkan di pulau Penyengat pada tahun 1872.
Berikut merupakan beberapa petikan Gurindam Dua Belas :

Barang siapa mengenal Yang Tersebut, tahulah ia makna takut
Barang siapa meninggalkan sembahyang, seperti rumah tiada bertiang
Barang siapa meninggalkan puasa, tidaklah mendapat dua termasa
Barang siapa meninggalkan zakat, tiadalah hartanya beroleh berkat
Barang siapa meninggalkan haji, tiadalah ia menyempurnakan janji

Sumber: riaulingga.blogspot.com

BERITA STPM TERKINI



STPM Secara Modular Mulai 2012
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) sentiasa berusaha untuk memperkasakan program pendidikan tingkatan enam dengan merangka rancangan penjenamaan semula program pendidikan prauniversiti ini. Satu daripadanya ialah merombak sistem peperiksaan STPM daripada sistem terminal kepada sistem modular.

STPM
Sistem pentaksiran STPM secara modular akan dilaksanakan mulai sesi persekolahan tingkaran enam bawah pada tahun 2012. Dalam sistem modular ini, penilaian terhadap pencapaian pelajar akan dijalankan pada setiap semester (ada tiga semester semuanya). Selain peperiksaan akhir berpusat pada setiap hujung semester, pelajar akan dinilai juga melalui kerja kursus yang dijalankan sepanjang pengajian. Dengan pelaksanaan sistem baru ini diharapkan pengajian tingkatan enam akan menjadi lebih menarik, dan dengan yang demikian, lebih banyak pelajar akan mengikuti pengajian peringkat prauniversiti ini.

Dari segi promosi, KPM telah menghebahkan maklumat ini melalui laman web, media massa dan program turun padang untuk menyebarluaskan maklumat tentang pelaksanaan sistem modular ini kepada warga pendidik di semua peringkat, khususnya kepada guru tingkatan enam, dan kepada pelajar serta masyarakat umum seluruhnya.

KPM akan terus mempergiatkan usaha mempromosikan dan menghebah kelebihan tingkatan enam serta terus berusaha memperkasakan pendidikan tingkatan enam. Usaha-usaha promosi juga dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak terutama dengan Kementerian Pengajian Tinggi dalam program ‘Jom Masuk U’. Proses peralihan sedang dilaksanakan melalui siri kursus dan taklimat bagi memantap dan menyebarkan maklumat berkaitan sebelum pelaksanaannya.

Sumber : KPM

Jumaat, 10 Februari 2012

TOKOH PENDIDIKAN

Tokoh Pendidikan


Zainal Abidin Bin Ahmad ( ZA’BA )Pendeta Yang Bersemangat Waja.




ZA’BA merupakan seorang tokoh cendekiawan dan patriot Melayu yang ulung dan yang amat prihatin terhadap masalah umat Melayu dalam pelbagai bidang terutama bahasa, pendidikan, agama dan ekonomi.

Dilahirkan pada 16 September 1895 dan dibesarkan di Negeri Sembilan. Beliau merupakan anak Melayu pertama di Negeri Sembilan yang menduduki peperiksaan Senior Cambridge pada tahun 1915 dan memperolehi keputusan yang cemerlang, malah beliau menjadi pelajar yang mendapat markah tertinggi dalam Ilmu Hisab, karangan Bahasa Inggeris dan Geografi Fizikal.

Beliau mula bergiat dalam bidang penulisan semasa bertugas sebagai guru pada tahun 1916 dan mengajar bahasa Melayu di beberapa buah sekolah di Johor dan Perak. Beliau telah menghasilkan beberapa majalah berbahasa Melayu seperti Utusan Melayu, Lambaga Melayu dan Pengasuh yang memperjuangkan nasib dan masa depan orang Melayu. Selain itu, beliau turut menghasilakn dua buah karya klasiknya tentang seni karangan dan tatabahasa Melayu, iaitu Ilmu Mengarang Melayu (1927) dan Pelita Bahasa(1934). ZA’BA merupakana seorang pemikir, pejuang dan penulis yang prolifik. Beliau menghasilkan karyanya dengan menggunkan bahasa Melayu dan Inggeris. Beliau juga turut berjaya menghasilkan ratusan makalah dan tidak kurang daripada 20 judul buku, termasuk Canai Bacaan(1924) dan Umbi Kemajuan (1932).

Selain bergiat dalam bidang penulisan, beliau juga pernah menjadi penterjemah berita dan juruhebah untuk pemerintahan Inggeris di Radio Malaya Singapura dan penterjemah bahasa Melayu di Mahkamah Kuala Lumpur. Beliau juga turut memikul tugas sebagai guru bahasa Melayu di School of Oriental and African Studies, University of London pada tahun 1949/50. Beliau turut memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dari universiti tersebut ketika berusia 52 tahun dan kemudian beliau kembali ke tanah air dan berkhidmat di UM Singapura.

Memandangkan sumbangannya yang luar biasa terhadap bahasa dan persuratan, pada tahun 196, beliau telah dianugerahkan oleh Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga suatu gelaran unik iaitu Pendeta Bahasa yang bermaksud ilmuan bahasa yang ulung. Pada tahun 1973, beliau mendapat anugerah Ijazah Doktor Persuratan Kehormat oleh UKM. Bersesuaian dengan kedudukannya sebagai pemikir bahasa, sastera dan kebudayaan Melayu, beliau merupakan pengasas Jabatan Pengajian Melayu di UM Singapura. Dari jabatan inilah kemudian tertegaknya Jabatan Pengajian Melayu, UM Kuala Lumpur yang kini berkembang menjadi Akademi Penyajian Melayu.

ZA’BA yang merupakan seorang tokoh terbilang dalam bidang persuratan telah meninggal pada 23 Oktober 1973 ketika berusia 78 tahun.





Aminuddin Baki : Tokoh Pendidik dan Pemikir Bangsanya


Aminuddin Baki telah diiktiraf sebagai perancang pendidik yang bijaksana dan berpandangan jauh di Asia oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO). Beliau telah terlibat dalam penggubakan beberapa dasar pendidikan negara untuk menghasilkan satu sistem pendidikan kebangsaan di Tanah Melayu yang keluar daripada sistem pendidikan yang diasaskan oleh penjajah yang berat sebelah.

Beliau di lahirkan di Chemor, Perak pada tahun 1926 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Chemor sehingga darjah lima dan kemudiannya di Sekolah Anderson, Ipoh dari tahun 1936 hingga 1945. Seterusnya melanjutkan pelajaran di Raffles College, Singapura dan memerolehi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di University of London dan dianugerahkan Postgraduate Certificate of Education.

Beliau telah bergerak cergas dalam kegiatan yang dianjurkan oleh pertubuhan pelajar Melayu di Semenanjung seperti Persatuan Penuntut-Penuntut Melayu Victoria Institution pada tahun 1945. Kecenderungan beliau menggerakkan pelajar Melayu supaya bersatu mendapatkan hak mereka untuk mendapatkan pendidikan tinggi dilanjutkan ketika beliau menuntut di Singapura. Pada tahun 1950, Aminuddin Baki telah dipilih menjadi Yang Dipertua GPMS dimana beliau telah meniup semangat orang Melayu untuk memberikan perhatian yang serius kepada pendidikan.

Beliau juga dilantik menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) setelah sekembalinya dari melanjutkan pelajaran di London. Semasa menjadi pensyarah, beliau telah membuka fikiran penuntutnya untuk melihat peranan Islam dalam pembentukan tamadun dunia dan peri pentingnya memperoleh pengetahuan dengan banyak membaca. Selain itu, beliau turut memainkan peranan dalam perkembangan pendidikan Negara dengan penglibatannya dalam menyiapkan Penyata Razak (1955-1957) dan Laporan Rahman Talib (1960-1963). Penyata dan Laporan ini penting dalam pembinaan dasar pendidikan negara sehingga hari ini. Beliau turut terlibat dalam Jawatankuasa Perancangan Pelajaran Tinggi dan Pelajaran Aneka Jurusan.

Pada usia 30-an, beliau telah dilantik sebagai Ketua Penasihat Pelajaran (sekarang dikenali sebagai Ketua Pengarah Pelajaran) Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1961 hingga 1965. Kesimpulannya, kejayaan pendidikan tinggi kebangsaan pada hari ini antaranya disumbangkan oleh Aminuddin Baki. Perhatian dan perjuangannya kepada pendidika tinggi orang Melayu sangat dihargai. Penglibatannya dalam perancangan menyiapkan Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib dan keaggotaannya dalam pelbagai bidang jawatankuasa yang lain memberikan pengalaman yang besar dan penting dalam melaksanakan tugasnya sebagai penasihat pelajaran. Jasanya yang besar kepada perkembangan dasar pendidikan negara telah diabadikan dalam pelbagai bentuk seperti penamaan sekolah, kolej dan institusi pendidikan.



Ungku Omar Bin Ungku Ahmad : Saintis yang Berjiwa Pendidik


Ungku Omar ialah pendidik dan saintis terkenal di Malaysia. Beliau sering menyatakan bahawa kemunduran orang Melayu di kawasan luar bandar ada hubung kait dengan tahap kesihatan yang membimbangkan. Oleh hal yang demikian, beliau telah memberikan perhatian kepada peningkatan taraf kesihatan penduduk luar Bandar. Penglibatannya dalam bidang penyelidikan sains dan perubatan mendapat pengitirafan antarabangsa seperti World Health Organization (WHO) dan diterima sebagai ahli College of Pathologist, London dan ahli kehormat College of American Pathologist, Amerika Syarikat. Beliau juga ahli jawatankuasa Sains Kemasyarakatan UNESCO dan ahli Lembaga Penyelarasan Kerjasama Serantau dalam Perubatan Tropika (SEAMEC).

Dilahirkan di Johor Bahru, Johor pada tahun 1931 dan mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Tangkak, Pontian dan Segamat, Johor. Beliau meneruskan pelajaran di Sekolah Inggeris di Keluang dan Maktab Melayu Kuala Kangsar. Seterusnya beliau memperolehi ijazah dalam bidang perubatan di UM Singapura pada tahun 1957. Kemudian beliau berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di Pusat Penyelidikan Perubatan Kuala Lumpur. Setelah itu, beliau meneruskan pelajaran dalam bidang Patologi dan memperolehi diploma dalam bidang tersebut daripada Royal College of Physicians London dan Royal College of Surgeon. Seterunya beliau melanjutkan pelajaran pada peringkat doktor falsafah dari University of London pada tahun 1965 dengan tesis bertajuk “Electrolytes in Isolated Human Leucocytes”.

Beliau telah menjadi Pengarah Institute of Medical Research (IMR) pada tahun 1965 dan turut menghasilakn sebuah jurnal antarabangsa yang terkenal iaitu Journal of Clinical Pathology. Beliau menggunakan pelbagai medium untuk mendidik masyarakat luar bandar tentang perlunya menjaga kesihatan seperti berceramah di radio sehingga dikenali sebagai “Doktor Radio”. Beliau telah memainkan peranan penting dalam penubuhan UKM yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Beliau telah memperjuangkan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang perubatan di universiti khususnya di UKM. Selain itu, beliau turut menekankan penggunaan bahasa Melayu di falkuti sastera dan agama, sains, kedoktoran, kejuruteraan, pertanian dan ekonomi kerana ramai pelajar Melayu daripada sekolah kebangsaan tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti kerana kuliah disampaikan dalam Bahasa Inggeris.

Beliau juga mengemukakan konsep universiti Islam di Malaysia dalam satu kertas kerja yang dibentangkan di Seminar Peradaban Islam se-Malaysia. Beliau mencadangkan bahasa Melayu , Arab dan Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar di universiti Islam yang dicadangkan. Selain mengajar bahasa Arab dan pengajian Islam, Universiti Islam Malaysia mengajarkan disiplin lain seperti perdagangan, kejuruteraan dan teknologi, undang-undang dan perubatan.

Jasanya yang besar dalam bidang pendidikan telah diabadikan bukan sahaja dengan anugerah bintang kebesaran tetapi juga namanya diabadikan di IPT seperti Politeknik Ungku Omar, Ipoh Perak yang merupakan politeknik yang tertua di Malaysia.





Ungku Abdul Aziz Bin Ungku Abdul Hamid : Pentadbir dan Pemikir Pendidikan Tinggi


Profesor Diraja Ungku Aziz ialah seorang tokoh akademik dan ekonomi yang sangat sukar disaingi apatah lagi ditandingi di negara ini. Beliau merupakan anak Melayu pertama yang dilantik memegang jawatan penting di UM iaitu Ketua Jabatan Ekonomi dan apabila jabatan itu dinaiktarafkan menjadi fakulti, beliau ialah orang pertama yang menjadi dekannya; professor Ekonomi dan naib canselor.

Ungku Aziz yang berdarah diraja dilahirkan pada 28 Januari 1922 di London, England. Beliau mendapat pendidikan awal di Johor Bahru kemudian meneruskan pengajian di Raffles College (1940-1941) dan mengambil mata pelajaran Ekonomi, Sejarah dan bahasa Inggeris. Beliau meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi di Waseda University, Tokyo dengan mendapat Ijazah Doktor Ekonomi pada tahun 1964.
Beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah ekonomi di UM Singapura, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, pensyarah kanan dan Ketua Jabatan Ekonomi, UM Kuala Lumpur, Dekan Fakulti Satera UM, diikuti dengan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran UM. Seterusnya beliau dilantik sebagai naib canselor selama dua dekad bermula 1 Oktober 1968 hingga 22 Februari 1988,. Beliau dianugerahkan Profesor Diraja oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada 17 Jun 1978.

Sumbangan beliau yang pertama ialah penubuhan Akademi Islam. Berdasarkan kertas kerja yang dibuat Profesor Diraja Ungku Aziz, senat universiti dalam mesyuaratnya pada 29 Julai 1976 telah menubuhkan Lembaga Pengajian tentang Nilam Puri dengan Ungku Aziz sebagai pengerusinya. Tujuannya untuk menimbang penerapan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan ke dalam UM. Hasil cadangan itu tertubuhnlah Akademi Islam UM. Kedua, penubuhan Institut Pengajian Tinggi pada tahun 1979 dengan menekankan kepada projek HAWA, Projek Pengajian Tinggi dan Pekerjaan. Dan pengajaran Kursus Sarjana Falsafah : Falsafah Penyedlidikan. Seterusnya penubuhan Pusat Asasi Sains pada tahun 1977 atas kesedaran beliau akan kekurangan pelajar peribumi dalam fakulti sains di UM. Keempat pula ialah penubuhan Pusat Bahasa UM pada 3 Mac 1972 sebagai sebuah organisasi perkhidmatan bahasa dan bertanggunjawab dalam menjalankan kursus bahasa yang sesuai dengan kehendak fakulti dan pusat-pusat lain di UM.

Ungku Aziz telah diberikan ijazah kehormat oleh beberapa universiti, antaranya Doctor of Humane Letters, University of Pittsburgh (1971); Doctor of Education, Chulalongkorn University, Bangkok (1977); Doctors of Laws, Waseda University, Tokyo(1982); Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi, UKM (1986); Doctor of Laws, University of Buckingham (1987); professor Emeritus, UM (1988); Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi, UM. Beliau turut mendapat pengiktirafan oleh kerajaan seperti Ordre des Arts et Des Lettres oleh Kerajaan Perancis (1965); Anugerah Yayasan Tun Abdul Razak (1978); Japan Foundation Award (1981); Soka Education Award (1987); International Academic Prize of the 4 Fukuoka Asian Cultural Prizes (1993); Anugerah Melayu Terbilang oleh Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi (2005) dan Anugerah Tuanku Syed Putra (2007).



Sumber : 50 Tahun Pembangunan Pendidikan Tinggi di Malaysia (1957-2007) -Penerbit USM, 2007