Isnin, 11 November 2013

ARTIKEL EKONOMI-Hampir RM20 bilion dihantar keluar oleh pekerja - Ahmad


KUALA LUMPUR 11 Nov. - Sebanyak RM19.75 bilion dihantar keluar negara oleh pekerja asing melalui saluran kiriman wang yang sah pada 2012.

Ini merupakan peningkatan daripada RM15.68 bilion pada 2011, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Pengiriman wang keluar oleh pekerja asing pada 2010 berjumlah RM13.4 bilion.
Beliau berkata lima negara penerima utama kiriman wang ini pada tahun lepas ialah Bangladesh, sebanyak RM3 bilion, diikuti Indonesia (RM2.95 bilion), Nepal (RM1.9 bilion), India (RM625.1 juta) dan Filipina (RM561.3 juta).
"Sejak 2009, jumlah kiriman wang keluar berganda daripada RM10 bilion kepada hampir RM20 bilion pada 2012, hasil daripada peningkatan dalam penawaran perkhidmatan pengiriman wang oleh pemberi perkhidmatan bukan bank yang sah," katanya ketika menjawab soalan Ko Chung Sen (DAP-Kampar) yang bertanyakan jumlah wang yang dihantar keluar negara setiap tahun oleh pekerja asing di Malaysia, sama ada secara sah atau tidak, dan ke negara mana wang itu dihantar keluar.
Mengenai kesan ke atas ekonomi akibat kehilangan modal ke negara lain, Ahmad berkata memandangkan situasi turun naik dalam pasaran kewangan global baru-baru ini, Malaysia mengalami aliran keluar modal secara sederhana, yang merupakan pembalikan sebahagian daripada aliran masuk sebelumnya.
"Namun, keadaan ini turut dialami oleh semua ekonomi pesat membangun, termasuk di negara serantau, dan bukan khusus pada Malaysia sahaja," katanya.
Setakat ini, aliran keluar modal dari pasaran kewangan domestik berlaku secara teratur dan tidak menjejaskan ekonomi.
"Aliran masuk dan aliran keluar modal secara dua hala yang berterusan ini akan menjadi ciri kekal dalam ekonomi Malaysia.
"Oleh itu, adalah penting untuk memastikan bahawa aliran modal tidak menyebabkan sebarang ketidakseimbangan yang boleh mengakibatkan ketidakstabilan keadaan ekonomi dan kewangan negara," katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin), Ahmad berkata peningkatan jumlah wang keluar antara 2010 dan 2011 disebabkan saluran pengiriman wang telah diperluas di seluruh negara.
"Dahulu ejen pengiriman wang ini hanya terhad, contohnya Western Union, Mercant Trade... namun telah diperluas... sekarang ini kita benarkan pengurup wang memberi perkhidmatan itu mulai 2011 apabila Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 diwujudkan.
"Daripada 498 pengurup wang yang kita berikan kebenaran, sebanyak 196 ejen (dilantik), dan sekarang 75 beroperasi, jadi lebih mudah bagi mereka menghantar wang," katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20131111/ek_03/Hampir-RM20-bilion-dihantar-keluar-oleh-pekerja---Ahmad#ixzz2kJucM7Yt
© Utusan Melayu (M) Bhd