Memaparkan catatan dengan label Bahasa Melayu910. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bahasa Melayu910. Papar semua catatan

Isnin, 11 November 2013

ARTIKEL EKONOMI-Hampir RM20 bilion dihantar keluar oleh pekerja - Ahmad


KUALA LUMPUR 11 Nov. - Sebanyak RM19.75 bilion dihantar keluar negara oleh pekerja asing melalui saluran kiriman wang yang sah pada 2012.

Ini merupakan peningkatan daripada RM15.68 bilion pada 2011, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Pengiriman wang keluar oleh pekerja asing pada 2010 berjumlah RM13.4 bilion.
Beliau berkata lima negara penerima utama kiriman wang ini pada tahun lepas ialah Bangladesh, sebanyak RM3 bilion, diikuti Indonesia (RM2.95 bilion), Nepal (RM1.9 bilion), India (RM625.1 juta) dan Filipina (RM561.3 juta).
"Sejak 2009, jumlah kiriman wang keluar berganda daripada RM10 bilion kepada hampir RM20 bilion pada 2012, hasil daripada peningkatan dalam penawaran perkhidmatan pengiriman wang oleh pemberi perkhidmatan bukan bank yang sah," katanya ketika menjawab soalan Ko Chung Sen (DAP-Kampar) yang bertanyakan jumlah wang yang dihantar keluar negara setiap tahun oleh pekerja asing di Malaysia, sama ada secara sah atau tidak, dan ke negara mana wang itu dihantar keluar.
Mengenai kesan ke atas ekonomi akibat kehilangan modal ke negara lain, Ahmad berkata memandangkan situasi turun naik dalam pasaran kewangan global baru-baru ini, Malaysia mengalami aliran keluar modal secara sederhana, yang merupakan pembalikan sebahagian daripada aliran masuk sebelumnya.
"Namun, keadaan ini turut dialami oleh semua ekonomi pesat membangun, termasuk di negara serantau, dan bukan khusus pada Malaysia sahaja," katanya.
Setakat ini, aliran keluar modal dari pasaran kewangan domestik berlaku secara teratur dan tidak menjejaskan ekonomi.
"Aliran masuk dan aliran keluar modal secara dua hala yang berterusan ini akan menjadi ciri kekal dalam ekonomi Malaysia.
"Oleh itu, adalah penting untuk memastikan bahawa aliran modal tidak menyebabkan sebarang ketidakseimbangan yang boleh mengakibatkan ketidakstabilan keadaan ekonomi dan kewangan negara," katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin), Ahmad berkata peningkatan jumlah wang keluar antara 2010 dan 2011 disebabkan saluran pengiriman wang telah diperluas di seluruh negara.
"Dahulu ejen pengiriman wang ini hanya terhad, contohnya Western Union, Mercant Trade... namun telah diperluas... sekarang ini kita benarkan pengurup wang memberi perkhidmatan itu mulai 2011 apabila Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 diwujudkan.
"Daripada 498 pengurup wang yang kita berikan kebenaran, sebanyak 196 ejen (dilantik), dan sekarang 75 beroperasi, jadi lebih mudah bagi mereka menghantar wang," katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20131111/ek_03/Hampir-RM20-bilion-dihantar-keluar-oleh-pekerja---Ahmad#ixzz2kJucM7Yt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rabu, 18 April 2012

Isu Bahasa


PERKATAAN YANG TIDAK WUJUD DALAM BAHASA MELAYU

Banyak penutur atau pengguna bahasa Melayu, baik penutur jati atau penutur baharu tidak peka akan perkataan yang digunakan sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan. Perkataan yang tidak wujud dalam bahasa Melayu acap digunakan dengan sewenang-wenangnya tanpa merujuk sama ada perkataan tersebut diterima dalam konteks penggunaan tatabahasa atau ejaan bahasa Melayu. Berkemungkinan besar, penutur bahasa Melayu tidak sedar akan hal tersebut kerana keliru disebabkan pengaruh luar seperti media massa yang kerap menggunakan perkataan tertentu dalam akhbar atau majalah keluaran mereka. Berikut beberapa contoh perkataan yang kerap digunakan dalam bahasa Melayu tetapi sebenarnya tidak terdapat dalam Kamus Dewan. Antaranya ialah : taksub, stokin, lagenda, ole-ole, guris, mastika, kasturi, garuda, kekanda, ciplak, istirehat, redha, waswas, catit dan mee.
___
Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa, Mac 2012.

Rabu, 15 Februari 2012

TOKOH BAHASA MELAYU MODEN

Raja Ali Haji

Tokoh ini terkenal sebagai ulama serta sastrawan Melayu terkemuka pada abad 19. Raja Ali Haji adalah keturunan bangsawan Bugis yang mendiami Pulau Penyengat, tidak jauh dari Tanjung Pinang (Pulau Bintan). Ayah beliau bernama Raja Ahmad. Sementara datuk beliau bernama Raja Haji, seorang pahlawan Bugis terkenal.

Ayah Raja Ali Haji sangat menyukai bidang sejarah. Salah satu karya beliau ialah "Syair Perang Johor" menguraikan tentang perang antara Kesultanan Johor dan Kesultanan Aceh abad 17. Selain itu, Raja Ahmad juga orang pertama yang menyusun salasilah tentang sejarah orang Bugis di daerah Melayu dan hubungannya dengan raja-raja Melayu.

Bakat menulis ini diwarisi oleh anak beliau iaitu Raja Ali Haji. Sejak masih remaja, Raja Ali sering mengikuti ayahnya menjelajah ke beberapa wilayah, termasuk ke Batavia, berdagang serta ke Tanah Suci Mekah. Pengalaman beliau membuka banyak pengalaman hidup beliau.

Menginjak usia 20 tahun, beliau sudah diberikan tugas-tugas penting kerajaan. Pada usia 32 tahun, Raja Ali bersama sepupunya, Raja Ali bin Raja Ja‘far, telah mentadbir daerah Lingga, bagi mewakili Sultan Mahmud Muzaffar Syah yang masih muda.

Raja Ali Haji juga dikenali sebagai ulama dan sering menjadi tempat rujukan fatwa oleh kerabat kerajaan. Pengetahuannya dalam bidang agama sangat menonjol dan dimanfaatkan oleh para guru agama di Riau pada ketika itu.

Sumbangan beliau di bidang intelektual tidak terhingga banyaknya meliputi bidang agama, sastera, politik, sejarah, filsafat serta hukum.

Dalam bidang sastera,karya beliau yang berjudul Hikayat Abdul Muluk merupakan karya sastrawan Riau yang pertama diterbitkan pada tahun 1846. Dari sejak itu, semakin banyak karya Raja Ali Haji diterbitkan. Dalam beberapa buah karyanya, beliau selalu menekankan bahawa satu-satunya jalan untuk mengatasi hawa nafsu dan mencegah terjadinya konflik adalah dengan taat kepada hukum Allah SWT yang telah digariskan kitab suci Al Quran.

Selain itu tiap-tiap individu harus menjaga nama baik, ilmu dan akalnya. Pada setiap pesan etik yang disampaikan, Raja Ali kerap menyisipkan lukisan peristiwa nyata yang terjadi sepanjang pengalaman hidup beliau.

Raja Ali pun tak lupa menyoroti akhlak kepemimpinan. Menurutnya, seorang raja yang melalaikan tugasnya dan mendurhakai Tuhan tidak dapat diterima sebagai penguasa lagi.

Terlalu banyak hasil karya Raja Ali Haji,yang bercirikan kesusastraan Islam serta Melayu, juga kesungguhannya dalam menyajikan sejarah masa lalu. Di samping itu, karyanya berjudul Gurindam Dua Belas (1847) menjadi karya tak ternilai bahkan paling menonjol di antara karya yang lain. Dalam usaha untuk melestarikan karya-karyanya, pada awal tahun 1890, semua sanak saudaranya menubuhkan sebuah perkumpulan bernama Rusdyiah Club yang bergerak di bidang pembinaan umat serta penerbitan buku bersifat Islami. Raja Ali Haji dimakamkan di Pulau Penyengat. Di pulau ini terdapat banyak peninggalan Kerajaan Melayu. Ketika pusat kerajan Riau dipindahkan ke Pulau Penyengat tahun 1900, dibangunlah sebuah istana yang dikenali sebagai Kedaton. Di kompleks pemakaman Engku Putri Raja Hamida terdapat makam Radja Ali Haji. Makam Raja Ali Haji terletak di luar bangunan utama Makam Engku Putri. Karyanya Gurindam Dua Belas diabadikan di sepanjang dinding bangunan makam. Setiap pengunjung dapat membaca atau mencatat karya besarnya yang luar biasa indah tersebut.

Gurindam Dua Belas merupakan karya besar Raja Ali Haji (1809 - 1872). Beliau dikenal sebagai seorang budayawan, dan penulis dengan karya kaya beraliran Riau. Lahir sekitar tahun 1809 di Pulau Penyengat sebuah pusat keilmuan Melayu Islam yang penting di abad ke 19. Beliau wafat pada usia 63 tahun dan dimakamkan di pulau Penyengat pada tahun 1872.
Berikut merupakan beberapa petikan Gurindam Dua Belas :

Barang siapa mengenal Yang Tersebut, tahulah ia makna takut
Barang siapa meninggalkan sembahyang, seperti rumah tiada bertiang
Barang siapa meninggalkan puasa, tidaklah mendapat dua termasa
Barang siapa meninggalkan zakat, tiadalah hartanya beroleh berkat
Barang siapa meninggalkan haji, tiadalah ia menyempurnakan janji

Sumber: riaulingga.blogspot.com

Jumaat, 10 Februari 2012

TOKOH PENDIDIKAN

Tokoh Pendidikan


Zainal Abidin Bin Ahmad ( ZA’BA )Pendeta Yang Bersemangat Waja.




ZA’BA merupakan seorang tokoh cendekiawan dan patriot Melayu yang ulung dan yang amat prihatin terhadap masalah umat Melayu dalam pelbagai bidang terutama bahasa, pendidikan, agama dan ekonomi.

Dilahirkan pada 16 September 1895 dan dibesarkan di Negeri Sembilan. Beliau merupakan anak Melayu pertama di Negeri Sembilan yang menduduki peperiksaan Senior Cambridge pada tahun 1915 dan memperolehi keputusan yang cemerlang, malah beliau menjadi pelajar yang mendapat markah tertinggi dalam Ilmu Hisab, karangan Bahasa Inggeris dan Geografi Fizikal.

Beliau mula bergiat dalam bidang penulisan semasa bertugas sebagai guru pada tahun 1916 dan mengajar bahasa Melayu di beberapa buah sekolah di Johor dan Perak. Beliau telah menghasilkan beberapa majalah berbahasa Melayu seperti Utusan Melayu, Lambaga Melayu dan Pengasuh yang memperjuangkan nasib dan masa depan orang Melayu. Selain itu, beliau turut menghasilakn dua buah karya klasiknya tentang seni karangan dan tatabahasa Melayu, iaitu Ilmu Mengarang Melayu (1927) dan Pelita Bahasa(1934). ZA’BA merupakana seorang pemikir, pejuang dan penulis yang prolifik. Beliau menghasilkan karyanya dengan menggunkan bahasa Melayu dan Inggeris. Beliau juga turut berjaya menghasilkan ratusan makalah dan tidak kurang daripada 20 judul buku, termasuk Canai Bacaan(1924) dan Umbi Kemajuan (1932).

Selain bergiat dalam bidang penulisan, beliau juga pernah menjadi penterjemah berita dan juruhebah untuk pemerintahan Inggeris di Radio Malaya Singapura dan penterjemah bahasa Melayu di Mahkamah Kuala Lumpur. Beliau juga turut memikul tugas sebagai guru bahasa Melayu di School of Oriental and African Studies, University of London pada tahun 1949/50. Beliau turut memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dari universiti tersebut ketika berusia 52 tahun dan kemudian beliau kembali ke tanah air dan berkhidmat di UM Singapura.

Memandangkan sumbangannya yang luar biasa terhadap bahasa dan persuratan, pada tahun 196, beliau telah dianugerahkan oleh Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga suatu gelaran unik iaitu Pendeta Bahasa yang bermaksud ilmuan bahasa yang ulung. Pada tahun 1973, beliau mendapat anugerah Ijazah Doktor Persuratan Kehormat oleh UKM. Bersesuaian dengan kedudukannya sebagai pemikir bahasa, sastera dan kebudayaan Melayu, beliau merupakan pengasas Jabatan Pengajian Melayu di UM Singapura. Dari jabatan inilah kemudian tertegaknya Jabatan Pengajian Melayu, UM Kuala Lumpur yang kini berkembang menjadi Akademi Penyajian Melayu.

ZA’BA yang merupakan seorang tokoh terbilang dalam bidang persuratan telah meninggal pada 23 Oktober 1973 ketika berusia 78 tahun.





Aminuddin Baki : Tokoh Pendidik dan Pemikir Bangsanya


Aminuddin Baki telah diiktiraf sebagai perancang pendidik yang bijaksana dan berpandangan jauh di Asia oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO). Beliau telah terlibat dalam penggubakan beberapa dasar pendidikan negara untuk menghasilkan satu sistem pendidikan kebangsaan di Tanah Melayu yang keluar daripada sistem pendidikan yang diasaskan oleh penjajah yang berat sebelah.

Beliau di lahirkan di Chemor, Perak pada tahun 1926 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Chemor sehingga darjah lima dan kemudiannya di Sekolah Anderson, Ipoh dari tahun 1936 hingga 1945. Seterusnya melanjutkan pelajaran di Raffles College, Singapura dan memerolehi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di University of London dan dianugerahkan Postgraduate Certificate of Education.

Beliau telah bergerak cergas dalam kegiatan yang dianjurkan oleh pertubuhan pelajar Melayu di Semenanjung seperti Persatuan Penuntut-Penuntut Melayu Victoria Institution pada tahun 1945. Kecenderungan beliau menggerakkan pelajar Melayu supaya bersatu mendapatkan hak mereka untuk mendapatkan pendidikan tinggi dilanjutkan ketika beliau menuntut di Singapura. Pada tahun 1950, Aminuddin Baki telah dipilih menjadi Yang Dipertua GPMS dimana beliau telah meniup semangat orang Melayu untuk memberikan perhatian yang serius kepada pendidikan.

Beliau juga dilantik menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) setelah sekembalinya dari melanjutkan pelajaran di London. Semasa menjadi pensyarah, beliau telah membuka fikiran penuntutnya untuk melihat peranan Islam dalam pembentukan tamadun dunia dan peri pentingnya memperoleh pengetahuan dengan banyak membaca. Selain itu, beliau turut memainkan peranan dalam perkembangan pendidikan Negara dengan penglibatannya dalam menyiapkan Penyata Razak (1955-1957) dan Laporan Rahman Talib (1960-1963). Penyata dan Laporan ini penting dalam pembinaan dasar pendidikan negara sehingga hari ini. Beliau turut terlibat dalam Jawatankuasa Perancangan Pelajaran Tinggi dan Pelajaran Aneka Jurusan.

Pada usia 30-an, beliau telah dilantik sebagai Ketua Penasihat Pelajaran (sekarang dikenali sebagai Ketua Pengarah Pelajaran) Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1961 hingga 1965. Kesimpulannya, kejayaan pendidikan tinggi kebangsaan pada hari ini antaranya disumbangkan oleh Aminuddin Baki. Perhatian dan perjuangannya kepada pendidika tinggi orang Melayu sangat dihargai. Penglibatannya dalam perancangan menyiapkan Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib dan keaggotaannya dalam pelbagai bidang jawatankuasa yang lain memberikan pengalaman yang besar dan penting dalam melaksanakan tugasnya sebagai penasihat pelajaran. Jasanya yang besar kepada perkembangan dasar pendidikan negara telah diabadikan dalam pelbagai bentuk seperti penamaan sekolah, kolej dan institusi pendidikan.



Ungku Omar Bin Ungku Ahmad : Saintis yang Berjiwa Pendidik


Ungku Omar ialah pendidik dan saintis terkenal di Malaysia. Beliau sering menyatakan bahawa kemunduran orang Melayu di kawasan luar bandar ada hubung kait dengan tahap kesihatan yang membimbangkan. Oleh hal yang demikian, beliau telah memberikan perhatian kepada peningkatan taraf kesihatan penduduk luar Bandar. Penglibatannya dalam bidang penyelidikan sains dan perubatan mendapat pengitirafan antarabangsa seperti World Health Organization (WHO) dan diterima sebagai ahli College of Pathologist, London dan ahli kehormat College of American Pathologist, Amerika Syarikat. Beliau juga ahli jawatankuasa Sains Kemasyarakatan UNESCO dan ahli Lembaga Penyelarasan Kerjasama Serantau dalam Perubatan Tropika (SEAMEC).

Dilahirkan di Johor Bahru, Johor pada tahun 1931 dan mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Tangkak, Pontian dan Segamat, Johor. Beliau meneruskan pelajaran di Sekolah Inggeris di Keluang dan Maktab Melayu Kuala Kangsar. Seterusnya beliau memperolehi ijazah dalam bidang perubatan di UM Singapura pada tahun 1957. Kemudian beliau berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di Pusat Penyelidikan Perubatan Kuala Lumpur. Setelah itu, beliau meneruskan pelajaran dalam bidang Patologi dan memperolehi diploma dalam bidang tersebut daripada Royal College of Physicians London dan Royal College of Surgeon. Seterunya beliau melanjutkan pelajaran pada peringkat doktor falsafah dari University of London pada tahun 1965 dengan tesis bertajuk “Electrolytes in Isolated Human Leucocytes”.

Beliau telah menjadi Pengarah Institute of Medical Research (IMR) pada tahun 1965 dan turut menghasilakn sebuah jurnal antarabangsa yang terkenal iaitu Journal of Clinical Pathology. Beliau menggunakan pelbagai medium untuk mendidik masyarakat luar bandar tentang perlunya menjaga kesihatan seperti berceramah di radio sehingga dikenali sebagai “Doktor Radio”. Beliau telah memainkan peranan penting dalam penubuhan UKM yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Beliau telah memperjuangkan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang perubatan di universiti khususnya di UKM. Selain itu, beliau turut menekankan penggunaan bahasa Melayu di falkuti sastera dan agama, sains, kedoktoran, kejuruteraan, pertanian dan ekonomi kerana ramai pelajar Melayu daripada sekolah kebangsaan tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti kerana kuliah disampaikan dalam Bahasa Inggeris.

Beliau juga mengemukakan konsep universiti Islam di Malaysia dalam satu kertas kerja yang dibentangkan di Seminar Peradaban Islam se-Malaysia. Beliau mencadangkan bahasa Melayu , Arab dan Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar di universiti Islam yang dicadangkan. Selain mengajar bahasa Arab dan pengajian Islam, Universiti Islam Malaysia mengajarkan disiplin lain seperti perdagangan, kejuruteraan dan teknologi, undang-undang dan perubatan.

Jasanya yang besar dalam bidang pendidikan telah diabadikan bukan sahaja dengan anugerah bintang kebesaran tetapi juga namanya diabadikan di IPT seperti Politeknik Ungku Omar, Ipoh Perak yang merupakan politeknik yang tertua di Malaysia.





Ungku Abdul Aziz Bin Ungku Abdul Hamid : Pentadbir dan Pemikir Pendidikan Tinggi


Profesor Diraja Ungku Aziz ialah seorang tokoh akademik dan ekonomi yang sangat sukar disaingi apatah lagi ditandingi di negara ini. Beliau merupakan anak Melayu pertama yang dilantik memegang jawatan penting di UM iaitu Ketua Jabatan Ekonomi dan apabila jabatan itu dinaiktarafkan menjadi fakulti, beliau ialah orang pertama yang menjadi dekannya; professor Ekonomi dan naib canselor.

Ungku Aziz yang berdarah diraja dilahirkan pada 28 Januari 1922 di London, England. Beliau mendapat pendidikan awal di Johor Bahru kemudian meneruskan pengajian di Raffles College (1940-1941) dan mengambil mata pelajaran Ekonomi, Sejarah dan bahasa Inggeris. Beliau meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi di Waseda University, Tokyo dengan mendapat Ijazah Doktor Ekonomi pada tahun 1964.
Beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah ekonomi di UM Singapura, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, pensyarah kanan dan Ketua Jabatan Ekonomi, UM Kuala Lumpur, Dekan Fakulti Satera UM, diikuti dengan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran UM. Seterusnya beliau dilantik sebagai naib canselor selama dua dekad bermula 1 Oktober 1968 hingga 22 Februari 1988,. Beliau dianugerahkan Profesor Diraja oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada 17 Jun 1978.

Sumbangan beliau yang pertama ialah penubuhan Akademi Islam. Berdasarkan kertas kerja yang dibuat Profesor Diraja Ungku Aziz, senat universiti dalam mesyuaratnya pada 29 Julai 1976 telah menubuhkan Lembaga Pengajian tentang Nilam Puri dengan Ungku Aziz sebagai pengerusinya. Tujuannya untuk menimbang penerapan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan ke dalam UM. Hasil cadangan itu tertubuhnlah Akademi Islam UM. Kedua, penubuhan Institut Pengajian Tinggi pada tahun 1979 dengan menekankan kepada projek HAWA, Projek Pengajian Tinggi dan Pekerjaan. Dan pengajaran Kursus Sarjana Falsafah : Falsafah Penyedlidikan. Seterusnya penubuhan Pusat Asasi Sains pada tahun 1977 atas kesedaran beliau akan kekurangan pelajar peribumi dalam fakulti sains di UM. Keempat pula ialah penubuhan Pusat Bahasa UM pada 3 Mac 1972 sebagai sebuah organisasi perkhidmatan bahasa dan bertanggunjawab dalam menjalankan kursus bahasa yang sesuai dengan kehendak fakulti dan pusat-pusat lain di UM.

Ungku Aziz telah diberikan ijazah kehormat oleh beberapa universiti, antaranya Doctor of Humane Letters, University of Pittsburgh (1971); Doctor of Education, Chulalongkorn University, Bangkok (1977); Doctors of Laws, Waseda University, Tokyo(1982); Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi, UKM (1986); Doctor of Laws, University of Buckingham (1987); professor Emeritus, UM (1988); Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi, UM. Beliau turut mendapat pengiktirafan oleh kerajaan seperti Ordre des Arts et Des Lettres oleh Kerajaan Perancis (1965); Anugerah Yayasan Tun Abdul Razak (1978); Japan Foundation Award (1981); Soka Education Award (1987); International Academic Prize of the 4 Fukuoka Asian Cultural Prizes (1993); Anugerah Melayu Terbilang oleh Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi (2005) dan Anugerah Tuanku Syed Putra (2007).



Sumber : 50 Tahun Pembangunan Pendidikan Tinggi di Malaysia (1957-2007) -Penerbit USM, 2007

Khamis, 20 Oktober 2011

Jenayah warga Afrika

Peribahasa  sesuai :Cegah sebelum parah







Artikel dipetik dan diubahsuai daripada Berita Harian Online oleh Bersama Rejal Arbee
2011/10/20


ISU rakyat asing, khususnya dari Afrika yang berterusan membanjiri negara ini dengan alasan untuk belajar, tetapi sebenarnya mempunyai agenda tersendiri seperti yang dilaporkan oleh akhbar harian di Malaysia pada 19 Oktober 2011. Mereka ini dikatakan telah menjalani latihan di tempat khas umpama sekolah secara haram di negara mereka sebelum datang ke negara kita kerana mahu melakukan pelbagai jenayah dan aktiviti tidak sihat sudah seringkali disiarkan di media massa.

Antara jenayah yang sering mereka terbabit, termasuk pelbagai macam penipuan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan internet, merekrut gadis menjadi keldai dadah menyeludup dadah ke luar negara dan jenayah perdagangan manusia. Malangnya, pihak berwajib nampak seolah-olah tidak bermaya untuk menangani atau menghapuskan masalah yang semakin meruncing ini. Dalam keghairahan begitu banyaknya kolej swasta diwujudkan sudah timbul persaingan tidak sihat untuk mendapatkan pelajar hinggakan ada kolej tidak kisah sama ada yang memohon pelajar yang benar-benar mempunyai kelulusan sah diperlukan.
Benarkah pihak berkuasa kita tidak prihatin bagaimana anak gadis kita begitu mudah dipengaruhi warga Afrika dan Iran untuk menjadi keldai dadah sehinggakan beratus-ratus gadis kita yang mudah terpedaya kini merengkuk dalam penjara di serata dunia? Pihak berwajib di imigresen pernah awal tahun ini menyatakan 20 kolej swasta disenarai hitamkan kerana menyalahgunakan visa pelajar. Apa gunanya disenaraihitamkan jika tidak ada tindakan menghalang kolej itu daripada menerima pelajar asing atau pun kolej itu terus ditutupkan saja. Tentunya sekarang polis sudah pun mempunyai senarai kolej mana yang mempunyai pelajar terbanyak terjebak dalam perlakuan jenayah warga Afrika yang sudah ditahan dan senarai negara asal mereka itu.

Sudah tiba masa diwujudkan satu peruntukan supaya mana-mana kolej tidak lagi dibenarkan mengambil pelajar dari luar mengikuti sebarang kursus ditawarkan. Inilah saja jalan harus diambil, jika tidak mahu terus menutup saja kolej terbabit. Tindakan drastik begini saja yang nampaknya boleh mengatasi masalah itu. Tentunya ramai rakyat negara ini mahu tahu sejak bertahun ini sudah berapa kolej swasta pernah dikenakan tindakan kerana menyalahgunakan surat sokongan mereka kepada rakyat asing? Jika masih tidak ada, Kementerian Pengajian Tinggi perlu memberikan penjelasan.

Kini timbul pula pendedahan bahawa sudah ada pula kemudahan visa pelajar mudah diperoleh hanya dengan membayar antara RM500 dan RM1,000 kepada orang tengah tanpa perlu berurusan dengan Jabatan Imigresen lagi. Persoalannya bagaimana pula hal ini boleh berlaku? Jalan mudah yang boleh diambil kerajaan mengatasi perlakuan ini ialah dengan tidak lagi membenarkan kemasukan rakyat Nigeria atau Kenya atau mana-mana pun negara di mana warganya banyak melakukan jenayah di sini. Kita sememangnya tidak perlukan rakyat negara terbabit ke mari membawa pelbagai masalah kepada rakyat.

Seharusnya sudah ada peraturan kita hanya boleh terima warga negara itu dengan syarat ketat, misalnya jika diperakukan kerajaan mereka sendiri. Tidak harus wujud lagi kenyataan janggal baik daripada menteri atau mana-mana juga ketua jabatan kononnya kita akan ambil tindakan. Rakyat tidak lagi mahu dengar kenyataan seperti itu. Rakyat mahukan tindakan menyekat kemasukan anasir penjenayah sedemikian. Negara akan lebih aman kiranya peraturan ini diwujudkan.

Pihak polis pada 19 Oktober  ada mengeluarkan kenyataan satu sindiket penipuan warga Afrika menggunakan laman sosial seperti Facebook dan e-mel menipu wanita profesional berjaya ditumpaskan. Ini hanya satu daripada sindiket sedemikian. Jika sudah ditumpaskan apa jadi dengan anasir yang dicekup menjalankan kegiatan itu. Ini tidak pula diterangkan. Orang ramai ingin tahu apa tindakan yang sudah dilakukan? Berapa ramai rakyat Afrika yang ditahan dan dikemukakan ke muka pengadilan dan disabitkan dan berapa ramai pula yang sudah dinyahkan dari negara ini dengan disenaraihitamkan supaya tidak lagi dapat masuk ke mari?

Berapa ramai antara kita yang sering saja menerima e-mel tipu menceritakan bagaimana dia seorang janda mewarisi berjuta-juta dolar, tetapi perlu mendapatkan khidmat orang lain untuk mengeluarkan wang itu dengan janji memberikan sehingga 40 peratus daripada jumlahnya tetapi sebelum itu orang yang disasar itu perlu memasukkan sejumlah wang dalam akaunnya kononnya untuk memudahkan urusan.

Saya hairan bagaimana orang boleh percaya dengan penipuan begini? Kini dikatakan ada sehingga 110,000 pelajar asing berada dalam negara ini. Daripada jumlah itu seramai 30,000 kononnya mengikuti kursus latihan kemahiran teknikal selama enam bulan. Apakah selepas tamat tempoh enam bulan itu kesemuanya kembali ke negara masing-masing atau masih terus berada di sini?

Sewajarnya Kementerian Pengajian Tinggi boleh bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen untuk menghapuskan gejala buruk ini hingga ke akar umbi supaya tidak berlaku lagi dalam negara ini.

Berita Harian Online | Wujud kuota lepasan matrikulasi ke IPTA


Gambar hiasan sahaja
Rencana Khas oleh Minda Pengarang: 2011/10/20

Tangani segera masalah lulusan matrikulasi elak lebih ramai tercicir ke IPTA

BERITA eksklusif muka depan akhbar ini kelmarin melaporkan mengenai kehampaan pelajar lepasan Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran yang gagal mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), walaupun mencapai kelayakan yang diperlukan. Menurut laporan itu, 28 peratus daripada pelajar lepasan matrikulasi yang mencapai kelayakan minimum tidak mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke IPTA. Ini bermakna hampir 12,000 pelajar yang kebanyakannya daripada aliran sains dan sebelum ini mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berada dalam keadaan terumbang-ambing menantikan nasib selanjutnya. Sekilas pandang, masalah ini boleh dilihat sebagai sesuatu yang tidak harus berlaku. Persoalan yang timbul, apakah pihak bertanggungjawab terhadap pengambilan pelajar matrikulasi dan pengambilan pelajar ke IPTA tidak terlebih dulu menyelaraskan pengambilan pelajar agar tidak timbul soal limpahan pelajar ini. Timbul persoalan kenapa selepas setahun setengah mengikuti pengajian pada peringkat matrikulasi, baru pelajar ini mendapati mereka tidak mempunyai tempat di IPTA? Kita yakin kedua-dua kementerian terbabit dalam isu ini, iaitu Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah duduk semeja dan membincangkan soal penyelarasan pengambilan masing-masing. Namun pihak terbabit tidak pernah menjanjikan setiap pelajar yang lulus akan mendapat tempat untuk mengikuti kursus pilihan mereka di IPTA.

Seperti dijelaskan Kementerian Pengajian Tinggi, antara punca pelajar ini tercicir ialah mereka tersalah pilih atau memilih kursus kritikal. Apabila memilih kursus kritikal ini, lepasan matrikulasi ini terpaksa pula bersaing dengan pelajar lepasan program asasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan diploma untuk mendapat tempat di IPTA. Sudah tentu persaingan bagi kursus seperti ini sengit dan mereka yang gagal dipilih harus menerima hakikat tempat ditawarkan terhad. Kegagalan untuk mendapat tempat tidak bermakna program matrikulasi dikendalikan Kementerian Pelajaran gagal sepenuhnya. Kita juga tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, tetapi demi masa depan pelajar terbabit khususnya Melayu, kedua-dua kementerian wajar menangani masalah ini dengan segera bagi mengelak lebih ramai pelajar Melayu tercicir peluang meneruskan pengajian ke IPTA. Meskipun demikian, mengikut perangkaan bagi setiap seorang lepasan matrikulasi yang gagal mendapat tempat, hampir tiga yang lain berjaya. Antara yang gagal mendapat tempat pula ada juga menolak tawaran ke IPTA berikutan tidak bersetuju dengan kursus ditawarkan. Hal ini bermakna jumlah yang layak dan benar-benar tidak mendapat tempat sebenarnya tidaklah sebesar digambarkan. Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pelajar terbabit masih boleh membuat rayuan, selain menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Rabu, 19 Oktober 2011

Filem seram dan faktanya

Kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad di akhbar Berita Harian tentang -“cerita hantu yang ditayangkan di TV dan filem ketika ini boleh mempromosikan kepercayaan karut yang tidak membantu membina masyarakat produktif, termasuk menyelesaikan masalah dengan pendekatan saintifik” telah mendapat reaksi daripada pelbagai pihak. Sementara itu, dalam kenyataan lain oleh Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, turut menganggap ada antara filem hantu tidak menyumbang kepada pembentukan insan. Malah Islam sendiri tidak menerima apa-apa perkara yang boleh memperbodohkan masyarakat termasuk juga sesuatu pekara yang divisualkan dalam filem.

Misalnya, filem ‘Hantu Bonceng’yang mengaut keuntungan RM8 juta dikritik hebat kerana ada dialog pelakonnya iaitu Zizan jelas sekali menghina  Rasulullah SAW dengan menyebut “Ashaduanna Muhammadar Syaitan” yang membawa maksud “Aku naik saksi bahawa Muhammad itu Syaitan”. Ditambah dengan mempersendakan azan, memakai baju ada tanda salib death note ke masjid dan beberapa isu tahyul seperti bogel depan hantu.

Seterusnya, terdapat satu babak cerita Puteri Mardianah yang menonjolkan adegan memakan daging dan ulat penuh rakus dalam kedaaan dirasuk. Paparan begini sikit sebanyak boleh memberi kesan buruk kepada penonton kanak-kanak.
Dek kritikan demi kritikan yang terpaksa diterima oleh para pembikin filem dan drama seram ni, Persatuan Produser Filem Malaysia (PFM) dan beberapa produser serta pengarah lain, telah mengadakan diskusi untuk memberi pandangan serta ulasan lanjut bagi mengelakkan kerencatan pengkarya filem negara.

Ironinya, filem seram merupakan salah satu genre popular dalam kalangan masyarakat bukan saja di Malaysia, malahan juga diseluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Korea Selatan, Thailand and Indonesia. Hakikatnya, sambutan yang menggalakkan ini telah menjadi salah satu sebab utama filem-filem dari Jepun, Korea, Thailand mendapat sambutan di peringkat antarabangsa. Filem-filem popular ”box office” di Malaysia, termasuk ‘Hantu Bonceng’, ‘Khurafat’, ‘Hantu Kak Limah Balik Rumah’, ‘Ngangkung’. Genre ini telah memulakan momentum filem Malaysia sehingga membawa pada pengiktirafan anugerah pengarah, penerbitan, pelakon terbaik di persada festival antarabangsa dan peningkatan jumlah penerbitan. Sama ada penonton sedar atau tidak, filem seram adalah filem yang paling banyak menonjolkan unsur-unsur keagamaan dan kesemuanya menonjolkan kemenangan kepada kebaikan mengatasi kejahatan. Selain, membuka ruang kreatif seni reka dan teknologi baru VFX .

Datin Paduka Shuhaimi Baba atau mesra dengan panggilan Shumi, merupakan individu yang berjaya meraih anugerah menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam. Menurut pengarah ‘Pontianak Harum Sundal Malam’ dan ‘Waris Jari Hantu’ ni, sebenarnya polemik yang mengatakan lambakan filem seram adalah tidak benar kerana pada tahun ini telah ditetapkan hanya ada 42 buah filem seram (yang sudah dan bakal ditayangkan).  Itupun 18 daripadanya adalah filem seram komedi dan seram drama, bukan seram yang 'hardcore'. Di Malaysia, filem seram merupakan 'trend' pasaran atau diistilah sebagai 'seasonal'. Dimana-mana negara pun genre seram ni sudah ada pengikut tersendiri. Di Malaysia, filem seram merupakan trend pasaran atau diistilah sebagai 'seasonal'. Jadi selagi ada penonton, selagi itu para penerbit akan terbitkan produk-produk seram ni. Seperti di Hollywood sekarang, pengkaryanya tak buat lagi filem seram sebaliknya filem seram romantik macam ‘Twilight’.

Sejak tahun 2004 sehingga kini, lambakan filem-filem jenis ini baik terbitan tempatan mahupun yang diimport meninggalkan kesan terutama di kalangan generasi muda yang nantinya akan membesar menjadi pewaris kepada bangsa dan negara ini. Kesan ini boleh diibaratkan sebagai 'kesan tsunami'Apakah perasaan anda apabila melihat generasi muda yang bakal memerintah nanti menggunakan 'ramalan' dan pak nujum, ilmu penunduk dan ilmu penggerun dalam mengurus negara sebagaimana kes, Mona Fandi? Umumnya filem-filem berkenaan penuh dengan paparan yang tidak mendidik khalayak untuk menjadi lebih insaf dan lebih baik. Filem-filem berkenaan lebih banyak mengajar dan memberi contoh kepada yang batil dan menjadikan khalayak 'takut' terutama kepada kanak-kanak dan mereka yang tidak mempunyai latarbelakang didikan agama yang mantap-kukuh.

Kesan filem kepada kanak-kanak telah lama dikenalpasti sama ada melalui kajian, penelitian, pengamalan dan pemerhatian sejak tahun-tahun 1950-an lagi sebagaimana teori pembelajaran melalui peniruan yang dikemukakan oleh Albert Bandura. Begitu juga teori penanaman (cultivation theory) oleh Gerbner (1986) yang mengatakan orang yang banyak terdedah dan menonton televisyen (tv) akan mengalami perasaan takut terhadap keganasan. Keadaan yang sama ini boleh diaplikasi kepada pendedahan filem-filem seram yang terlalu kerap akan menjadikan khalayak sentiasa 'takut'. Teori perulangan dan teori peniruan mungkin sesuai diaplikasikan kepada kanak-kanak dan mereka yang tidak mempunyai latarbelakang yang kukuh dalam didikan agama. Bagi mereka ini kemungkinan besar akan meniru dan melakukan apa yang ditonton sekiranya mereka berhadapan dengan situasi yang sama dalam kehidupan mereka. Pemikiran dan budaya perlakuan mereka akan sentiasa dilingkungi oleh perkara-perkara yang bersifat mistik dan tahyul.

Pendedahan terlalu awal kepada filem-filem seram yang penuh dengan unsur-unsur batil kepada kanak-kanak bukan sahaja boleh memberi kesan kepada kognitif dan intelek mereka malah kepada aspek afeksi mereka. Mereka bukan sahaja menjadi takut ketika menonton kerana wujudnya situasi 'mediated film' dan akan terus menjadi takut selepas menonton apabila berhadapan dengan situasi yang sama. Lebih membahayakan apabila sesebuah filem seram ditonton oleh kanak-kanak yang sedang membesar kerana ia boleh mempengaruhi pemikiran mereka.

Filem-filem seram yang keterlaluan adalah bahaya kerana ia boleh menyumbang kepada penyelewengan akidah. Kepercayaan bukan-bukan seperti adanya kuasa ghaib yang divisualkan dan hantu itu boleh mengetahui sesuatu perkara, boleh menyebabkan masyarakat terpengaruh dan mempercayainya terutama yang tidak mendapat didikan agama yang mantap. Berkenaan penggunaan jin, khurafat dan azimat ia jelas bertentangan dengan syariat Islam dan ada kaitan dengan akidah. Hal ini termaktub dalam Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim, 2009).

Umat Muslim seharusnya merasa lega kerana dengan usaha alim ulama dan pihak-pihak tertentu, banyak perkara tahyul dan khurafat yang telah berakar umbi sekian lama dalam diri masyarakat Melayu-Islam di Malaysia dapat dibasmi. Antaranya upacara mandi safar, membuang ancak, mempercayai pelbagai keramat, mempercayai azimat dan kesaktian pada benda-benda tertentu, melenggang perut, menanam uri atau tembuni bersama objek-objek tertentu dan sebagainya.

Namun sayangnya kini, ada semacam satu usaha untuk menghidupkan kembali 'budaya perlakuan' ini melalui filem. Fahaman-fahaman animisme, tahyul dan khurafat yang selama ini cuba dibendung dan dikurangi sedikit demi sedikit mula ditonjol dan dipaparkan kembali. Filem telah memberi gambaran contoh kepada segolongan generasi muda terutama yang tidak mempunyai pegangan agama yang kuat untuk mencari sesuatu sebagaimana yang dipaparkan dalam filem.

Mereka yang tidak pernah mendengar dan faham tentang susuk (bukan botox) sudah mula bertanya dan mencari susuk. Ada yang sanggup meredah hutan untuk mencari tok-tok batin Orang Asli untuk menimba 'ilmu rokok pengasih' atau mencari 'minyak cenuai'. Malah ada pula yang cuba 'memburu' dan mencari jejak makhluk halus, jin dan hantu lalu dibuatkan program untuk tatapan di skrin. Macam tidak ada kerja lain yang lebih berfaedah untuk kebaikan orang ramai.

Tidak dinafikan bahawa dalam beberapa filem seram terselit beberapa nilai murni, seperti kajian yang dibuat oleh Siti Zubaidah (2008) ke atas filem Jangan Pandang Belakang (JPB, 2007).
Filem dalam pendidikan atau menggunakan filem sebagai bahan untuk mendidik tidak menjadi satu kaedah atau budaya dalam sistem pendidikan negara. Begitu juga kaedah menonton filem-TV secara 'kaedah terpimpin atau terarah' agak jarang diamalkan dalam masyarakat. Maka akhirnya nilai-nilai pendidikan yang dipaparkan dalam filem seperti dalam JPB hanya tinggal di situ sahaja. Filem hanya menjadi media hiburan semata-mata.

Ilmuwan Islam Muhammad Qutb (dalam Zubaidah, 2008) pernah melahirkan kebimbangannya terhadap seni filem. Isi kandungannya kini banyak menyimpang jauh daripada suasana Islam. Seni yang baik adalah seni yang selaras dan yang mendukung syariat Islam.  Pihak Barat atau yang bukan Islam mempergunakan seni sebagai simbol ekspresi individu tanpa batasan; menghalalkan apa saja cara demi mencapai tujuan tanpa dikawal dengan nilai dan moral. Inilah antara perkara yang membezakan antara seni berlandaskan Islam dengan bukan Islam. Filem sebagai hasil seni telah digunakan untuk menyalurkan saranan dan kandungan yang menyeleweng jauh daripada suasana dan akidah Islam.

Seni pada hakikatnya adalah untuk membawa kepada kebaikan dan kebenaran. Bukan untuk membawa kepada kebatilan. Maka sebagai hasil seni filem seharusnya dapat memberikan kesan baik dan bukan sebaliknya. M. Ilham (2005) dalam penulisnya mengatakan bahawa filem adalah antara 'senjata' dalam strategi F yang digunakan oleh pihak Yahudi dan Barat dalam memesong dan merosakkan akidah umat Islam - food, fashion, feminine, fun and filem. Seni sebagai satu cabang ilmu sebagaimana ilmu-ilmu lain dapat digunakan untuk kebaikan dan untuk membinasakan. Perhatian perlu diberi kepada kesan-kesannya demi kebaikan bersama.

Published with Blogger-droid v1.7.4