Memaparkan catatan dengan label Karangan stpm. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Karangan stpm. Papar semua catatan

Isnin, 9 April 2012

Latihan penulisan wacana minggu ini

Tema sukan & riadah.
Soalan:
Kini, minat masyarakat terhadap aktiviti sukan dan riadah semakin meningkat. Bincang kepentingan aktiviti sukan dan riadah dalam kalangan warga Malaysia.

Pengenalan
-Konsep aktiviti sukan dan riadah
-Statistik
-Pendapat tokoh
-slogan/peribahasa

Idea
1. Menyihatkan tubuh badan
2. Mencerdaskan minda
3. Memupuk perpaduan
4. Meningkatkan imej negara
5 Memanfaatkan masa terluang
6 Mencungkil bakat baru
7 Mengurangkan stres

Kesimpulan:
Ulaskan semula idea-idea.
Berikan slogan/peribahasa
Usaha kerajaan
Pendapat anda
Penegasan karangan.



Published with Blogger-droid v1.7.4

Selasa, 27 Mac 2012

Karangan STPM Berformat Laporan

ASSALAMUALAIKUM DAN SELAMAT SEJAHTERA SEMUA...

Di sini cikgu paparkan contoh latihan Laporan Tingkatan 6 yang diambil daripada Blog Cikgu Mohd Khir Kassim..
Semoga dapat membantu semua.. terima kasih kepada Cikgu Mohd Khir(guru cemerlang T6) atas perkongsian ini.


Soalan Contoh
Andaikan anda sebagai pegawai kanan di Kementerian Pengajian Tinggi dan anda diminta untuk menjalankan kajian tentang kesan pertumbuhan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di negara ini. Berdasarkan maklumat yang diperoleh, sediakan satu laporan tentang kesan pertumbuhan IPTS kepada rakyat dan negara ini.

Rangka Karangan
1.0 Pendahuluan
- Dunia pendidikan penting dalam era moden kini - kemajuan dalam bidang pendidikan menyebabkan wujudnya IPTS
2.0 Senarai Ahli Jawatankuasa
Pengerusi:
Setiausaha:
AJK :
3.0 Kesan Pertumbuhan IPTS
Kesan positif
3.1 Peluang untuk melanjutkan pelajaran bertambah
3.2 Pelajar bebas membuat pilihan untuk belajar
3.3 Membantu negara mencapai matlamat untuk menjadi pusat kecemerlangan ilmu
Kesan negatif
3.4 IPTS mementingkan keuntungan – yuran yang mahal
3.5 Kemasukan pelajar asing bertambah – timbul masalah lain
3.6 Terdapat sesetengah dasar IPTS yang tidak seiring dengan kehendak negara,
contohnya penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
4.0 Penutup
- Pertumbuhan IPTS ternyata mendatangkan kebaikan dan keburukan
- Usaha yang berkesan perlu dijalankan untuk memastikan penubuhan IPTS mendatangkan faedah kepada masyarakat dan negara


Laporan disediakan oleh: Tarikh: __________

___________________
(Nama )
Jawatan

Karangan Contoh

LAPORAN TENTANG KESAN PERTUMBUHAN IPTS DI NEGARA INI

1.0 Pendahuluan
Dalam era globalisasi kini, aspek pendidikan merupakan perkara penting yang diberikan tumpuan oleh setiap negara. Akibat kemajuan dalam bidang pendidikan ini, kewujudan IPTS nampaknya semakin banyak di negara kita iaitu seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Pertumbuhan IPTS itu telah banyak mendatangkan kebaikan dan keburukan terhadap negara kita. Setiap pihak dapat merasakan kesan pertumbuhan tersebut dan senario itu memang patut dipantau agar sebarang permasalahan dapat ditangani dengan berkesan. Sebagai pegawai yang telah diamanahkan untuk menjalankan kajian terhadap kesan pertumbuhan IPTS di negara ini, saya ingin membentangkan laporan tersebut.

2.0 Senarai Ahli Jawatankuasa
Pengerusi: Datuk Syazwan Munasir
Setiausaha: Farahana Iqmal
Ahli Jawatankuasa : Azuan Zainal
Tharshini a/p Perumal
Chin York Chow
Mohamad Nawawi Ismail
Halimah Nursalam
Mahmud Zulkifli

3.0 Kesan Pertumbuhan IPTS
Kesan pertumbuhan IPTS ini terbahagi kepada dua iaitu kesan positif
dan negatif.
Kesan positif:
3.1 Peluang untuk melanjutkan pelajaran bertambah
Jawatankuasa kami mendapati bahawa kesan positif yang pertama ialah peluang unntuk melanjutkan pelajaran ke IPT semakin bertambah. Perkara ini telah memberikan peluang yang lebih banyak kepada pelajar-pelajar yang gagal mendapat tempat di IPT Awam. Oleh itu, pelajar-pelajar tersebut boleh meneruskan pengajian mereka hingga ke peringkat, diploma dan ijazah. Dengan kata lain, mereka tidak tersekat setakat SPM kerana kekurangan tempat di IPTA. Hal ini bermakna bahawa semua pelajar mempunyai peluang yang sama sama ada yang cemerlang atau yang kurang cemerlang untuk melanjutkan pengajian.

3.2 Pelajar bebas untuk membuat pilihan untuk belajar
Dengan adanya IPTS, pelajar-pelajar bebas untuk membuat pilihan tentang bidang pengajian yang hendak diikuti oleh mereka. Tempat yang terhad di IPTA telah digantian dan disediakan oleh IPTS yang sama tarafnya dengan IPTA. Oleh itu, pelajar-pelajar dapat meneruskan bidang pengajian yang diminati oleh mereka tanpa sekatan oleh masalah tempat yang terhad. Hal ini demikian kerana, mereka boleh memilih IPTA yang disukai dan bersesuaian dengan bidang pengajian yang hendak diambil.

3.3 Pertumbuhan IPTS ini akan membantu negara kita mencapai matlamat untuk menjadi pusat kecemerlangan ilmu di rantau ini. IPTS yang berkualiti yang terdapat di negara ini telah menarik pelajar-pelajar dari luar negara untuk melanjutkan pengajian di sini. Perkara ini disokong pula oleh kadar bayaran yuran yang berpatutan dan lebih rendah berbanding dengan negara-negara maju yang lain. Jadi, dengan kawalan dan pemantauan yang ketat daripada kerajaan, kualiti IPTS dan graduan yang dihasilkan setanding dengan universiti ternama di dunia.

Kesan negatif:
3.4 Berdasarkan kajian kami, terdapat IPTS yang mementingkan keuntungan semata-mata. IPTS tersebut mengenakan yuran yang mahal terhadap pelajar-pelajarnya. Pelajar-pelajar luar negara mungkin tidak menerima kesan buruk yang teruk kerana mereka yang datang ke sini sememangnya mampu untuk membayar yuran tersebut. Masalah ini memberikan kesan yang teruk terhadap pelajar-pelajar tempatan yang datang daripada keluarga yang miskin dan tidak mampu untuk membayar yuran pengajian yang tinggi. Tambahan pula, bantuan kewangan yang diberikan oleh PTPTN juga tidak mencukupi.

3.5. Ahli jawatankuasa kami mendapati bahawa pertumbuhan IPTS ini menyebabkan kemasukan pelajar asing semakin bertambah di negara kita. Perkara ini telah menimbulkan masalah lain yang menjejaskan negara. Sebagai contohnya, terdapat pelajar asing yang suka bergaduh sesama mereka di samping suka mengganggu anak gadis tempatan. Kadar jenayah juga semakin meningkat kerana mereka turut terlibat dengan pelbagai sindiket jenayah seperti pemerdagangan manusia, pemalsuan dokumen perjalanan dan sebagainya.

3.6 Di samping itu, terdapat sesetengah dasar IPTS di negara ini yang tidak seiring dengan kehendak dan aspirasi negara. Sebagai contohnya, bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa pengantar di IPTS tersebut. Jadi, perkara ini menyebabkan usaha untuk memartabatkan bahasa Malaysia terbantut dan tidak mencapai matlamat seperti yang dihasratkan oleh negara kita. Hal ini demikian kerana, pelajar-pelajar luar negara sudah tentu tidak mahu menggunakan bahasa Malaysia sebagai medium perantaraan dan juga sebagai bahasa komunikasi.

4.0 Penutup
Sebagai kesimpulannya, pertumbuhan IPTS ternyata mendatangkan kebaikan dan keburukan. Oleh itu, usaha yang berkesan daripada pelbagai pihak perlu dijalankan untuk memastikan penubuhan IPTS mendatangkan faedah kepada masyarakat dan negara. Jika perkara ini tidak diberikan perhatian, sudah tentu kesan buruknya akan menjejaskan imej dan kesejahteraan negara kita di mata dunia. Oleh hal yang demikian, kita berharap pertumbuhan IPTS ini akan dapat membantu negara kita untuk mencapai matlamat sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini.


Laporan disediakan oleh Tarikh : 29 MEI 2011

_____Farahana_______
(FARAHANA IQMAL)
Setiausaha Jawatankuasa IPTS
Sektor Pengurusan IPTS
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia

Posted by Cikgu Mohd Khir Kassim at 4:48 AM

Selasa, 1 November 2011

PERNIAGAAN PINJAMAN WANG SECARA HARAM

Perniagaan pinjaman wang sudah lama bertapak di Malaysia. Kini, fenomena tersebut berkembang pesat sehingga transisi pinjamannya menjangkau ratusan juta ringgit. dengan mengenakan kadar bunga yang tinggi along mengaut keuntungan berlipat ganda dan mampu meneruskan operasi haramnya meskipun negara dan dunia mengalami kemelesetan ekonomi.

Antara golongan yang tidak serik untuk mendapatkan khidmat along termasuklah mereka yang sering terjebak dengan kegiatan judi. Golongan ini sering menjadikan along sebagai sasaran apabila mereka kalah di meja judi. Wang yang dipinjam digunakan untuk berjudi. Selain itu, "ibu ayam" atau "bapa ayam" yang menjalankan aktiviti persundalan turut membantu pekerja seks mereka untuk meminjam duit daripada along untuk berjudi atau membeli-belah. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Berita Harian (19 Ogos 2011) pada bulan April dan Mei lalu iaitu sepanjang kejohanan liga bola sepak Inggeris berlangsung, jumlah wang yang dipinjam daripada along adalah antara RM5 juta hingga RM6 juta berbanding hanya RM2 juta pada bulan Jun. Hal ini menunjukkan trend, nilai pinjaman wang daripada along. Sebanyak 370 aduan mengenai masalah pinjaman along sepanjang tahun ini dengan nilai pinjaman mencecah RM25 juta membabitkan 2,694 along telah dilaporkan. Daripada jumlah itu, 70 peratus adalah peminjam daripada kaum Cina, Melayu (19 peratus) dan India (11 peratus).

Golongan lain yang sering meminjam wang daripada along ialah peniaga kecil-kecilan seperti penjaja makanan, pemilik restoran, peniaga bergerak dan pekedai runcit. Perniagaan sebegini memerlukan pusingan wang tunai untuik terus beroperasi. Oleh sebab kesukaran untuk mendapatkan modal pusingan daripada bank, maka institusi kewangan haram seperti along menjadi sasaran mereka untuk mendapatkan pinjaman.

Golongan usahawan juga tidak terkecuali, terutamanya kontraktor kecil-kecilan. Lazimnya mereka meminjam daripada along untuk membeli bahan pembinaan dan membayar gaji pekerja jika lewat menerima bayaran daripada kontraktor utama. Di samping itu, mereka yang "makan gaji" juga sering menjadi sasaran along. Hal ini berlaku kerana mereka ini mempunyai gaji tetap walaupun bergaji kecil. Golongan elit seperti pensyarah, doktor, peguam dan pegawai kerajaan juga sering terjebak dengan kegiatan along.

Masyarakat sewajarnya dididk supaya mereka tidak terjebak dalam perangkap along. Kegiatan along perlu diperangi secara habis-habisan. Langkah proaktif lain untuk membendung kegiatan along ialah mewujudkan tabung pinjaman dan pusat aduan masyarakat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN). Sementara itu, prosedur pinaman wang oleh pihak bank perlu dilonggarkan dengan mengurangkan karenah birokrasi. Syarat pinjaman oleh pihak bank sewajarnya dinilai semula supaya tidak terlalu ketat sehingga menyukarkan golongan peminjam untuk meminjam wang.



Rabu, 19 Oktober 2011

Masalah Obesiti Kanak-kanak

Mutakhir ini, obesiti menjadi masalah utama dalam kalangan kanak-kanak di dunia. Menurut laporan National Center for Health Statistic pada 2002, kira-kira 15 peratus kanak-kanak dan remaja di Amerika Syarikat mengalami obesiti. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), masalah obesiti semakin serius dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di negara membangun. Masalah obesiti merupakan faktor utama yang mengakibatkan sindrom metabolik yang banyak dihidapi penduduk di Asia. WHO menganggarkan bahawa pada 2015, lebih kurang 2.3 bilion orang penduduk di dunia mengalami masalah berat badan yang terlebih dan daripada jumlah tersebut kira-kira 700 juta orang akan mengalami masalah obesiti. Di Malaysia, peningkatan masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 10 tahun menunjukkan peratusan yang membimbangkan iaitu daripada 6.6 peratus kepada 13.8 peratus. Keadaan ini lebih kritikal apabila mereka meningkat dewasa. Semestinya golongan dewasa yang menghadapi masalah obesiti mencari alternatif terbaik untuk mengurangkan berat badan. Bagi kanak-kanak pula, masalah obesiti mereka kebanyakan dibiarkan oleh ibu bapa mereka. ___ Dr. Tam Cai Lian, pensyarah di Fakulti dan Sains Kesihatan, Universiti Monash Sunway, Bandar Sunway, Petaling Jaya. Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Oktober 2010. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.