Jumaat, 6 April 2012

Sukatan STPM Baharu

  
1 Pengenalan
Dalam Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia Bahasa Melayu yang baharu, komponen pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) diterapkan kepada calon sekolah kerajaan, calon sekolah bantuan kerajaan, calon sekolah swasta, dan calon persendirian individu. Melalui PBS, calon dikehendaki untuk menyediakan dua kerja kursus, iaitu kerja kursus pada penggal 2 dan kerja kursus pada penggal 3. Wajaran markah bagi komponen kerja kursus sepanjang pengajian tingkatan enam ialah 25%. Markah pentaksiran kerja kursus hendaklah dihantar kepada MPM untuk diambil kira bersama-sama dengan markah peperiksaan bagi tujuan penentuan markah keseluruhan dan penggredan.
Pada penggal 2, calon dikehendaki mengarang esei berformat manakala pada penggal 3, calon dikehendaki menghasilkan penulisan ilmiah. Panduan dan arahan tugasan akan diberikan melalui portal MPM http://www.mpm.edu.my. Tugasan adalah berkaitan dengan tajuk yang terdapat dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu.
2 Objektif
Tujuan kerja kursus ini diadakan adalah untuk menilai dan memperkukuh kebolehan dan keupayaan calon dalam
(a) Kemahiran kognitif:
·         memahami dan mengaplikasi pengetahuan dan sistem bahasa Melayu;
·         mengaplikasi teori dan kaedah yang diajar dalam bilik darjah dengan tugasan yang diberikan;
·         mentafsir, mensintesis, dan merumus data dan maklumat berkaitan dengan isu yang dibentangkan.
(b) Kemahiran manipulatif:
·         mencari dan mengumpul pelbagai jenis data dan maklumat daripada pelbagai sumber;
·          memperoleh sumber melalui aktiviti memerhati, merekod, menemu bual, dan mengkaji selidik;
·         mempersembahkan data dan maklumat yang diperoleh dalam bentuk grafik, jadual, rajah, carta, dan tulisan;
·         mengaplikasi pembelajaran dengan kaedah, teknik, dan strategi yang ilmiah, seperti dengan memperoleh ilmu melalui sumber kajian, pengumpulan maklumat daripada pelbagai sumber, dan menyampaikan dapatan dan maklumat dalam bentuk komunikasi yang teratur, jelas, dan sahih.
(c) Kemahiran insaniah (soft skills):
·         berkebolehan untuk berkomunikasi secara lisan dan tulisan;
·         berkebolehan untuk bekerjasama dalam kumpulan, mengorganisasi tugas, dan bekerja sebagai satu pasukan;
·         berupaya mengawal aktiviti kerja kursus yang disediakan secara berkesan;
·         berupaya mengurus masa mengikut jadual kerja yang ditetapkan;
·         berupaya menyelesaikan masalah;
·         berupaya menghasilkan tugasan secara kreatif dan inovatif;
·         mampu menjalankan kajian kuantitatif dan kualitatif secara saintifik;
·         berkebolehan untuk menjalankan kajian secara jujur, amanah, dan beretika;
·         berupaya meningkatkan keyakinan diri dan bermotivasi.