Khamis, 19 April 2012

Obsesi Kecantikan Kehendak atau Keperluan?

Oleh Abd. Kadir Mohd. Ayub

Berikan sejuta perkataan untuk menghuraikan kecantikan seorang wanita. Berilah walau sebanyak mana perumpamaan. Biar apa-apa pun yang diluahkan, masih belum cukup untuk mendefinisikan betapa indahnya insan yang bernama wanita-insan mulia yang dikurniakan pelbagai keistimewaan oleh Yang Maha Esa.

Wanita harus bersyukur kerana dilahirkan dengan segala keindahan yang mengangkat martabat wanita. Bagai irama dengan lagu, wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan.

Menyedari hakikat ini, tidak hairanlah kebanyakan wanita moden berlumba-lumba mendapatkan pelbagai rawatan kecantikan. Menjaga kecantikan tidak salah, tetapi apabila melibatkan ketaksuban yang keterlaluan, padah yang menanti tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Lebih-lebih lagi apabila pusat rawatan kecantikan yang dikunjungi tidak diiktiraf.

Dalam banyak perkara yang dikaitkan dengan kecantikan, majoriti kaum wanita didapati menitikberatkan penampilan wajah dengan berusaha mencari pelbagai kosmetik bagi menyerlahkan lagi kecantikan yang dimiliki. Mereka juga begitu takut dengan penampilan bentuk tubuh badan mereka. Jika tersilap langkah mereka boleh terjebak dengan pelbagai lambakan kosmetik di pasaran yang ada antaranya mempunyai bahan racun berjadual. Mereka terlupa bahawa dalam menjaga kecantikan luaran, aspek kecantikan dalaman juga harus dititikberatkan.


Berbelanja Besar Untuk Cantik?

Isu obsesi terhadap kecantikan di Malaysia menjadi semakin hangat apabila pada Disember 2011 sebuah akhbar arus perdana melaporkan wanita di negara ini sanggup berbelanja sekurang-kurangnya RM2000 setiap bulan semata-mata untuk kelihatan cantik dengan membeli produk kosmetik pelbagai jenama.

Menurut unjuran Laporan Kewangan Jabatan Audit Amerika Syarikat 2011, jumlah keseluruhan perbelanjaan rakyat di negara ini yang membabitkan kosmetik dan kecantikan pada 2011 dianggarkan bernilai AS$1 Bilion (RM3.42). Angka ini menunjukkan bahawa kebanyakan wanita di negara ini begitu terpengaruh dengan kosmetik atau apa-apa sahaja yang mampu mengekalkan kecantikan yang dimiliki.

Baru-baru ini Dewan Masyarakat berkesempatan menemu bual wanita yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur secara rambang. Kebanyakan wanita berumur 18 hingga 30 tahun yang ditemui sekurang-kurangnya pasti memakai produk kosmetik asas, seperti bedak kompak, gincu, pembayang mata atau pemerah pipi. Perbelanjaan ini tidak termasuk perbelanjaan lain, seperti pakaian, produk penjagaan kulit, rambut serta penjagaan kesihatan.

Seorang ahli perniagaan, Nazira Azri, 30 tahun, menjelaskan bahawa beliau membeli kosmetik berdasarkan jenama dan kualiti. “Saya tidak lokek mengeluarkan belanja lebih untuk tampil cantik asalkan berkualiti dan berbaloi dengan wang yang dilaburkan,” ujarnya kepada Dewan Masyarakat.

“Wanita perlu menitikberatkan penampilan lebih-lebih lagi jika pekerjaan menuntut diri mereka berhadapan dengan orang ramai. Bagi saya, penggunaan kosmetik kini bukan lagi kehendak, tetapi menjadi keperluan seorang wanita,” katanya ketika ditemui di Ampang. Nazira mengakui, setiap bulan dia memperuntukkan hampir RM3000 untuk tujuan kecantikan.

Sementara itu, seorang pelajar kolej swasta, Rita Rahim, 20 tahun, mengakui bahawa kebanyakan wanita di negara ini begitu gila akan kosmetik tidak kira sama ada yang sudah bekerja atau masih lagi bergelar pelajar. Rita menjelaskan pemilihan produk kosmetik adalah berdasarkan trend semasa termasuk warna dan jenama popular di pasaran.

“Gaya solekan terkini menjadi ikutan wanita terutama apabila melihat paparan iklan yang sedikit sebanyak mempengaruhi kuasa membeli wanita. Oleh itu, terdapat segelintir wanita tidak kisah menghabiskan wang ringgit untuk kelihatan cantik,” jelasnya.

“Tidak dinafikan walaupun masih belajar, terdapat kawan-kawan saya yang sanggup memperuntukkan sekurang-kurangnya RM300 untuk membeli kosmetik,” jelas Maiza Rahim, 19.

Walaupun pandangannya berbeza kerana begitu percaya dengan kecantikan semula jadi, Maiza juga tidak dapat mengelak daripada menggunakan bahan kosmetik asas.

“Saya tidak memakai kosmetik secara berlebihan kerana setiap individu mempunyai keistimewaan tersendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang eksekutif pemasaran, Juita Rahman, 25 tahun, mendakwa pemakaian kosmetik mampu meningkatkan keyakinan diri seseorang sekali gus menaikkan seri wajah. “Pemakaian kosmetik yang sesuai mampu memberikan nilai tambah kepada diri.

“Pemakaian kosmetik yang berlebihan tidak menampakkan keaslian wajah seseorang. Selain itu, pemilihan produk juga perlu dititikberatkan kerana khuatir dengan kandungan kimia yang boleh merosakkan kulit,” jelas seorang pakar kulit, Dr. Anita, yang ditemui penulis.

Namun, beliau tidak menafikan bahawa wanita masih tidak boleh lari daripada menggunakan bahan kosmetik asas untuk menambahkan seri dan penampilan. “Tidak salah menggunakannya asalkan mereka mengambil berat terhadap kandungan bahannya,” tegas Anita.


Persaingan Syarikat Kosmetik

Kepelbagaian produk kosmetik yang terdapat di pasaran dan perkembangan industri kecantikan di seluruh dunia mendorong peningkatan perbelanjaan rakyat Malaysia terhadap barangan tersebut.

Apabila berbicara mengenai kosmetik dan produk penjagaan diri, yang terbayang di fikiran adalah produk yang membantu memperbaik penampilan. Seorang wanita lazimnya menyenaraikan gincu, pembayang mata, dan maskara dalam senarai membeli produk kosmetik.

Banyak orang beranggapan bahawa industri kosmetik hanya melibatkan gincu,pembayang mata dan maskara, tetapi sebenarnya turut meliputi produk penjagaan diri dan kebersihan. Industri kosmetik bukan industri yang menghasilkan produk berasaskan gender, peringkat umur, tempat atau strata sosial.

Pada tahun lepas, menurut Laporan Kewangan Ekonomi Global 2011, nilai jualan produk kosmetik dan penjagaan diri global diunjurkan sebanyak Euro126 bilion (kira-kira RM605 bilion) dengan 55 peratus daripadanya datang dari Eropah. Eropah juga merupakan pengeluar terbesar produk kosmetik dan penjagaan diri, diikuti Amerika Syarikat dan Jepun.

Sejak kebelakangan ini, terdapat permintaan yang tinggi terhadap produk kosmetik dan penjagaan diri yang inovatif kerana pengguna kini memiliki kesedaran yang tinggi mengenai kecantikan. Pengguna juga semakin bijak apabila permintaan terhadap produk berasaskan organik atau yang mempunyai nilai tambah, seperti produk halal atau produk mesra alam didapati mengalami peningkatan mendadak.

Lambakan produk kecantikan dan penjagaan diri dari luar negara di pasaran tempatan, termasuk dari negara jiran, seperti Indonesia, Filipina, dan Thailand juga seolah-olah memberikan isyarat sudah tiba masanya anak tempatan turut diberi peluang.

Penganjur pameran kecantikan terbesar Asia Tenggara, Beauty 11 Expo, Mak Weng Kit berkata, rakyat Malaysia berbelanja AS1.1 bilion (RM3.42 bilion) pada 2011 bagi membeli produk kosmetik dan kecantikan.

“Pada 2011, sambutan terhadap produk kecantikan amat memberangsangkan apabila kehadiran pengunjung dicatatkan lebih daripada 20 ribu orang sepanjang ekspo berlangsung,” jelasnya. Selain itu, bilangan syarikat yang mengambil bahagian juga meningkat kepada 50 peratus berbanding dengan 2010. Maklum balas yang diterima daripada peserta pameran juga menunjukkan pertumbuhan pasaran dan industri kecantikan di Malaysia semakin meningkat.

“Setiap tahun bilangan pengunjung dan peserta didapati meningkat. Rakyat Malaysia mempunyai kesedaran terhadap kecantikan dan pengguna kini sanggup berbelanja lebih ke atas produk kecantikan demi kelihatan cantik,” ujarnya.

Pengasas produk kecantikan D’Navechee, Datuk Azalina Che Abdullah, menjelaskan bahawa persekitaran masyarakat yang mementingkan kecantikan mendorong wanita untuk kelihatan bergaya dan menarik di khalayak. “Kecantikan itu sendiri merupakan binaan sosial seseorang. Pelbagai persepsi dapat dilihat apabila istilah cantik itu dinilai. Cantik luaran dan cantik dalaman adalah berbeza, namun kita tidak dapat menafikan manusia hanya dapat menilai aspek luaran daripada menilai kecantikan dalaman,” ujarnya kepada penulis ketika ditemui baru-baru ini.

“Semua ini merupakan lumrah kerana wanita sememangnya suka akan kecantikan dan keindahan. Maka, syarikat pengeluaran kosmetik juga tidak ketinggalan menawarkan produk untuk membantu mengekalkan dan memelihara kecantikan wanita,” jelasnya.

Presiden SimplySiti Sdn. Bhd., Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, percaya bahawa trend wanita berbelanja besar terhadap produk kecantikan bukanlah sesuatu yang mengejutkan. “Majoriti wanita yang bekerja memperuntukkan hampir setengah daripada pendapatan mereka hanya untuk memastikan diri kelihatan cantik dan menawan,” beritahu Siti semasa sidang media mengenai produk SimplySiti pada September tahun lalu. Siti turut menasihati golongan wanita agar berpada-pada ketika mengeluarkan belanja untuk kekal cantik.


Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Mac 2012