Isnin, 9 April 2012

Kenali Morfologi..

Morfologi

Morfologi ialah bidang yang mengkaji struktur kata, binaan kata, bentuk kata dan golongan kata.
  • Struktur kata - sususan bentuk bunyi ujaran  atau lambang (tulisan) yang menjadi unit bahasa yang bermakna. Contoh : pagi - p/a/g/i
  • Binaan kata - unsur-unsur yang membina sesuatu kata yang dikenali sebagai morfem.
  • Bentuk kata - kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk dan kata ganda.
  • Golongan kata - kelas kata-kata tertentu seperti kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas.
  Dalam morfologi, unit terkecil yang mempunyai makna dan tugas nahu ialah morfem.

Morfem

Morfem ialah unit terkecil yang menjadi unsur perkataan. Sekiranya kata tidak boleh dipecahkan kepada unit bermakna atau nahu yang lebih kecil, maka kata-kata ini terdiri daripada satu unit atau satu morfem.
Misalnya "minum". "Minum" tidak akan berfungsi dan memberi makna jika dipecahkan kepada mi dan num. Sebaliknya, kata "diminum" boleh dipecahkan kepada dua morfem, iaitu "di" dan "minum". Kesimpulannya, perkataan boleh terdiri daripada beberapa morfem.
Morfem boleh dibahagi kepada dua, iaitu morfem bebas dan morfem terikat.
Morfem Bebas Morfem terikat/imbuhan
Dapat berdiri sendiri, misalnya:
  minum, cuti, sekolah, periksa
Bentuk imbuhan, misalnya:
  mem, per, kan, ber
Mempunyai maksud sendiri. Tidak mempunyai makna tetapi mempunyai fungsi tatabahasa atau nahu. Boleh mengubah makna sesuatu kata dan seterusnya makna ayat.

Morfem terikat/imbuhan

Morfem terikat/imbuhan boleh dibahagi seperti berikut:
  • Awalan. Ditambah pada bahagian depan kata dasar. Misalnya membaca, menghafal.
  • Akhiran. Ditambah pada bahagian belakang kata dasar. Misalnya perkataan "undian, minuman"
  • Sisipan. Diselit di antara unsur unsur kata dasar. Misalnya telapak (tapak)
  • Apitan. Ditambahkan serentak pada awalan dan akhiran kata dasar. Misalnya, imbuhan per....an dalam permainan.

Kata 
  1. Kata / perkataan ialah unit bahasa terkecil yang mengandung makna lengkap dan dapat berdiri dengan sendiri dalam ayat.
  2. Dibentuk daripada kata akar dan kata dasar
  • kata akar - kata dasar yang terdiri daripada satu morfem bebas iaitu bentuk dasar yang belum diberi sebarang imbuhan.
  • kata dasar ialah kata yang menjadi dasar untuk membentuk kata seperti kata akar, kata terbitan, kata majmuk, kata ganda dan frasa.